HALAMAN SANTAI

Isnin, 21 Oktober 2019

Menteri syok sendiri rasa harga barang murah - Pemuda UMNO Kelantan

Menteri syok sendiri rasa harga barang murah - Pemuda UMNO Kelantan
Rakyat kini juga tidak yakin isu berkenaan akan dapat menurunkan harga barang kerana nelayan dan petani sendiri masih lagi belum menerima insentif tahun 2019 yang lepas. - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Salahuddin Ayub seolah-olah tidak pernah meninjau sendiri harga di pasaran apabila memberitahu Program Bazar Peduli Rakyat (BPR) mengurangkan harga keperluan asas sehingga 30 peratus berbanding pasar awam.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor menegaskan, kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu juga mengejutkan banyak pihak yang mengetahui harga sebenar barangan keperluan asas di pasaran.
 
"Kita menyeru Salahuddin supaya jangan mengeluarkan penyataan syok sendiri yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat yang merasai keperitan hakikat sebenar harga barang yang melambung dan tidak terkawal ini.
 
 “Jangan hanya mendengar maklumat yang tidak tepat daripada pegawai yang hanya ingin mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) mereka di atas kertas sahaja," katanya semasa ditemui di sini, pada Isnin.
 
Salahuddin pada sesi Dewan Rakyat memberitahu, Kerajaan komited dalam mengurangkan beban rakyat terutama melibatkan barangan keperluan harian.

Katanya, pelaksanaan BPR berjaya mengurangkan harga keperluan asas antara lima hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga di pasar awam.

BACA: Bazar Peduli Rakyat: Komitmen kerajaan ringankan beban - Salahuddin

Tambahnya, agensi-agensi di bawah kementeriannya (MOA) dilibatkan secara langsung dalam menjalankan inisiatif itu yang telah diadakan sebanyak 17 kali di sembilan lokasi.

Dalam pada itu tegas Noor Hariri, Belanjawan 2020 yang dibentang sebelum ini tidak memikirkan kebajikan kepada medium pengangkutan bahan mentah kepada pengguna.

"Untuk makluman Salahuddin, Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak menyebut subsidi diesel diberikan kepada lori pengangkutan yang tentunya menjadi medium utama bagi mengangkut bahan mentah dari ladang dan kilang yang akan memberi kesan signifikan terhadap harga barang keperluan ini.

"Rata-rata rakyat di semua peringkat mengeluh dengan keadaan harga barang keperluan seperti ikan, ayam dan sayuran yang naik dan berubah saban minggu.

"Bantuan khas kepada nelayan dan petani walaupun disebut dalam Belanjawan 2020 hanya omongan kosong sahaja sebelum ini," ujarnya.

Katanya lagi, rakyat kini juga tidak yakin isu berkenaan akan dapat menurunkan harga barang kerana nelayan dan petani sendiri masih lagi belum menerima insentif tahun 2019 yang lepas. 
 
 

Tiada ulasan: