Adam Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Sabah dan Sarawak digesa mengikut langkah Putrajaya meminda undang-undang bagi mengetatkan hukuman ke atas pihak yang memburu hidupan liar dan terancam secara haram.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata, mengenakan hukuman berat dan setimpal terhadap pemburu haram dilihat boleh mengekang aktiviti memburu hidupan liar dilindungi, seperti gajah Pygmy Borneo yang ditemui mati di Sabah baru-baru ini.
“Ini antara sebab mengapa saya mahu pinda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dengan meningkatkan tempoh penjara dan juga denda kalau ada yang ditangkap dan didakwa di mahkamah.
“Namun akta ini hanya untuk di Semenanjung, jadi saya minta kerajaan Sabah dan Sarawak mengikut akta yang akan kita bawa ke Parlimen pada sesi pertama Dewan Rakyat tahun hadapan,” katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.
Xavier berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penemuan seekor lagi gajah Pygmy Borneo yang mati dengan kesan luka lama dipercayai akibat tembakan di kawasan ladang sawit di Beluran, Sabah, semalam.
“Peningkatan denda dan penjara akan ketara. Kita perlu ketatkan undang-undang dan meningkatkan penguatkuasaan untuk beritahu kepada orang ramai bahawa jika ditangkap, mereka akan dikenakan hukuman berat,” katanya.
Bulan lalu, seekor gajah Pygmy Borneo ditemui mati di Kalabakan dekat Tawau dan bedah siasat mendapati kira-kira 70 peluru berada dalam badan haiwan malang itu.
Gajah Pygmy Borneo adalah spesies dilindungi sepenuhnya dan disenaraikan dalam Jadual 1 “Spesies Dilindungi Sepenuhnya” Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.
Mengulas lanjut, Xavier berkata, Putrajaya juga akan menambah bilangan renjer dengan merekrut anggota baru dalam kalangan pesara tentera dan Orang Asli.
“Kita buat kajian berdasarkan permintaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), tengok kawasan mana yang perlu lebih ranjer.
“Antara kawasan yang perlu diberi tumpuan sekarang ialah Royal Belum dan Taman Negara Endau-Rompin kerana kawasannya luas.
“Kita ada satu bajet (untuk tambah bilangan renjer) kira-kira RM25 juta, kita akan buat kiraan sebelum tentukan jumlah yang boleh ditambah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan