HALAMAN SANTAI

Sabtu, 19 Oktober 2019

Umpama kehilangan arah, kakitangan Utusan terpaksa kurangkan belanja anak di universiti

Shawaliah Hadir
MGF19102019_KU-AMIRUL-FAIZ-BANTUAN-MENOLONG-PETUGAS-UTUSAN02
Suzaila Saad

KUALA LUMPUR – Suaminya ditawarkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) kira-kira setahun lalu namun segala-galanya tidak berjalan lancar apabila bayaran yang sepatutnya diterima tidak dapat dilunaskan mengikut jadual.

Lebih menyedihkan apabila Utusan Melayu (Malaysia) Berhad terpaksa menghentikan operasi secara mengejut menyebabkan Suzailah Saat umpama kehilangan arah apabila memikirkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung.

Mengakui masih terkejut dengan penutupan operasi UMMB, fikirannya terganggu kerana tiga anaknya masih memerlukan pembiayaan pendidikan.

Beliau yang berkhidmat sebagai kerani di syarikat tersebut terpaksa menamatkan tusyen anaknya bongsunya yang berusia 13 tahun selain mengurangkan perbelanjaan bulanan anak pertamanya di universiti sebagai langkah penjimatan.

“Saya sangat terkesan, semua perancangan pun lari apatah lagi kita diberhentikan secara mengejut kita hilang arah, buntu susah fikir ke hadapan. Kita nak buat apa, sedangkan yang VSS pun tak dibayar, inikan lagi saya ni,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Suzailah merupakan salah seorang kakitangan UMMB yang bertemu dengan peguam muda, Ku Amirul Faiz Ku Seman untuk mendapatkan nasihat dari sudut undang-undang selepas UMMB memberhentika operasinya pada 10 Oktober lalu

Namun begitu, Suzailah sedar tidak boleh berdiam diri dan sedang mencari kerja baharu dalam keadaan pasaran kerja yang mencabar.

Beliau juga berharap hak mendapat gaji selepas berkhidmat dnegan syarikat itu selama berpuluh tahun tidak hanya dipandang remeh.

Suzailah antara lebih kurang 30 kakitangan Utusan yang mendapatkan khidmat nasihat peguam secara percuma demi mengetahui hak dan langkah sepatutnya diambil selepas syarikat itu menamatkan operasi pada 10 Oktober yang lalu.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: