HALAMAN SANTAI

Jumaat, 18 Oktober 2019

Bersih 2.0 cadang PSC Pilihan Raya dijadikan jawatankuasa tetap



Bersih 2.0 berharap dengan terbentuknya PSC Pilihan Raya ini 
institusi parlimen serta institusi pilihan raya dapat diperkukuh 
serta dipertingkatkan.
 
PETALING JAYA: Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 hari ini menyarankan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Pilihan Raya, penubuhannya diumumkan semalam, dijadikan satu panel tetap agar peranan periksa dan timbang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat dijalankan sepanjang tahun.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Bersih 2.0 berkata jawatankuasa itu perlu dianggotai oleh parti politik daripada kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang berdasarkan nisbah bilangan kerusi parti di Dewan Rakyat.

“Kami juga mencadangkan agar model PSC pilihan raya di Australia sebagai model di mana ahli Parlimen daripada pihak kerajaan menjadi pengerusi dan timbalannya daripada ahli parlimen pembangkang.”

Menurut Bersih 2.0, sebagai kriteria untuk pemilihan ahli-ahli PSC untuk pilihan raya, mereka yang dipilih mesti mempunyai pengetahuan, pengalaman dan berkepakaran dalam urusan pilihan raya dan telah menunjukkan komitmen kepada reformasi pilihan raya.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan penubuhan empat lagi PSC yang akan berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap cabang eksekutif negara.

Itu antara yang terkandung dalam Penyata Jawatankuasa Dewan yang dibentangkan kepada semua ahli Parlimen semalam, yang kemudiannya diterima dan dipersetujukan.

Empat jawatankuasa itu berkaitan dengan pilihan raya, hak asasi manusia dan hal ehwal perlembagaan, hubungan dan perdagangan antarabangsa; dan sains, inovasi dan alam sekitar.

Jawatankuasa tersebut bertujuan untuk memudah cara, menambah baik dasar-dasar Kerajaan supaya menjadi lebih cekap dan pada akhirnya memberikan pengesahan kepada tindakan dan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan.

PSC terbabit juga berkuasa memanggil orang hadir di hadapannya untuk mengambil keterangan, fikiran dan pandangan tentang apa-apa yang berkaitan dengan bidang tugas yang dinyatakan dalam terma rujukan jawatankuasa tersebut serta tertakluk kepada peruntukan yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Sebelum ini, menurut Bersih 2.0 berkata pihaknya telah mencadangkan kepada kerajaan agar membentuk PSC Pilihan Raya selain kewujudan Jawatankuasa Pembaikan Khas Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC).

“Kedua-dua badan ini mempunyai tugas yang berbeza di mana PSC akan mempunyai mandat yang lebih besar dari sudut perundangan kerana bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen serta penting untuk memudahkan proses melaksanakan cadangan-cadangan reformasi pilihan raya daripada ERC,” katanya.

Mengenai mandat dan kuasa, Bersih 2.0 berkata jawatankuasa itu perlu ada kuasa untuk menerima, menyemak dan membahaskan laporan tahunan SPR, termasuklah laporan khusus selepas pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil.

Bersih 2.0 berkata, jawatankuasa itu juga perlu ada kuasa untuk menerima, meneliti dan memeriksa laporan kewangan dan perbelanjaan SPR termasuklah selepas pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil.

“Melaksanakan siasatan berkaitan sebarang isu berkenaan pilihan raya apabila perlu dengan kuasa untuk mensapina saksi-saksi bagi memberikan keterangan dan bukti-bukti bagi isu yang dibangkitkan.

“Siasatan ini juga perlu dilakukan secara terbuka kepada orang umum dan disiarkan secara langsung di televisyen ataupun di laman web parlimen sebagaimana siaran perbahasan Parlimen.”

Selain itu Bersih 2.0 berkata, PSC juga harus menyemak sebarang undang-undang dan pindaan undang-undang berkenaan pilihan raya sebelum dibentang dan dibahaskan melalui proses libat urus untuk semua pihak yang berkepentingan, terutamanya parti-parti politik dan masyarakat madani.

Badan pemantau pilihan raya itu juga mencadangkan PSC perlu memberi cadangan-cadangan bagi reformasi sistem, amalan dan undang-undang pilihan raya.

Bersih 2.0 juga mencadangkan PSC untuk pilihan raya menjalankan siasatan terhadap persempadanan pilihan raya yang dilakukan dalam tempoh 2016-2018 oleh SPR, yang digunakan dalam pilihan raya umum lalu.

“Diharapkan dengan terbentuknya PSC Pilihan Raya ini institusi parlimen serta institusi pilihan raya negara kita dapat diperkukuh serta dipertingkatkan kedudukannya selari dengan negara-negara maju seperti di UK dan Australia yang seringkali menjadi model pengurusan pilihan raya yang bebas, bersih dan adil,” katanya.

Kata Bersih 2.0 berkata pihaknya memberi kredit kepada Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md. Yusof dalam menerajui reformasi parlimen yang amat penting ini.

Tiada ulasan: