PRK TG PIAI | Naib
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mahfuz Omar mempertikaikan
sokongan PAS terhadap calon BN bagi pilihan raya kecil parlimen Tanjung
Piai, Wee Jeck Seng.
Mahfuz berkata ini kerana langkah
tersebut jelas berbeza dengan tindakan PAS sebelum ini yang menggesa
ahli partinya memberi keutamaan menyokong calon Islam sekiranya berlaku
pertembungan dengan calon bukan Islam.
“Walaupun di Cameron Highlands mereka menyatakan bahawa wajib bagi orang Islam menyokong calon daripada orang Islam apabila bertembung dua pilihan antara calon orang Islam dengan bukan Islam.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata PAS cuma mengambil kesempatan demi kepentingan politik parti itu.
“Jadi saya anggap ini satu pembodohan yang dilakukan oleh pimpinan ulama PAS terhadap ahli-ahli dan penyokong mereka serta seluruh seluruh rakyat Malaysia dengan politik murahan mereka.
“Politik yang hanya mencari kesempatan untuk kepentingan mereka,” katanya.
Pada 25 Jan lalu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata pengundi Islam pada PRK Cameron Highlands wajib menyokong calon BN Ramli Mohd Nor, yang mempunyai sifat keagamaan dan rekod bersih.
Katanya, umat Islam tidak sepatutnya memilih calon DAP yang didakwanya menunjukkan tanda-tanda negatif yang tidak dapat disembunyikan terhadap Islam.
“Sokongan ini adalah selaras persefahaman yang dipersetujui dalam Muafakat Nasional antara Umno dan PAS yang ditandatangani pada 14 Sept lalu,” katanya.
Wee pernah menjadi MP Tanjung Piai selama dua penggal mulai 2008, sebelum tewas tipis kepada calon PH, Dr Mohd Farid Mohd Rafik pada PRU14 lalu dalam pertembungan tiga penjuru membabitkan calon PAS.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Abdullah secara bergurau berkata PAS perlu menyokong calon PH, Karmaine Sardini yang merupakan calon Islam dan mempunyai rekod baik.
“Bagaimana mereka (PAS) akan berkempen di Tanjung Piai kerana mereka menyokong dan bekerjasama rapat dengan Umno. Saya rasa PAS perlu sokong calon PH.
“Mereka pernah berkempen menggunakan isu kaum dan agama untuk memilih calon di tempat lain.
Jadi, terserah kepada rakyat untuk lihat parti mana yang berterus-terang,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
“Di mana kita letak calon itu bergantung pada perkiraan, sebab itu kita tidak boleh berkempen yang mengatakan pilihlah calon Cina atau Melayu dan sebagainya.
“Kalau kita betul-betul parti yang memahami kedudukan Malaysia yang majmuk dan keperluan kaum, rakyat dan agama, sudah pasti kita akan pilih calon pelbagai kaum.
“Ada masa kami letak calon Melayu dan ada masa kami letak calon Cina. Kami tidak berkempen kata mesti pilih yang Islam saja,” katanya.
PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Dr Farid yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lalu.
SPR menetapkan tarikh penamaan calon pada 2 November manakala pengundian pada 16 November depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan