HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 Disember 2019

‘Kena fikir kelangsungan politik Melayu akan datang’

Oleh Fazleen Safina

 

Parti-parti Melayu kena bersatu jika nak sokongan penuh orang Islam

BANGI – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai memperlihatkan pengundi Parlimen itu sudah menolak kepimpinan Pakatan Harapan (PH), kata Penasihat Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang juga pemerhati politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood

Beliau berkata, majoriti pengundi di Tanjung Piai sudah beralih arah kepada calon pembangkang, besar kemungkinan mereka mahu memberi pengajaran kepada kerajaan PH, yang gagal menunaikan janji kepada rakyat.

Katanya, banyak isu-isu utama seperti kenaikan harga barang, kos sara hidup tinggi, harga komoditi rendah serta kadar pengangguran tinggi yang masih tiada penyelesaian menjadi punca rakyat menolak PH.

“Malah isu manifesto yang tidak tertunai juga menjadi sebab rakyat berpaling kepada pembangkang.

“Perlu diingat bahawa pengundi Melayu sensitif dengan isu-isu semasa, misalnya isu maruah orang Melayu seperti yang dibangkitkan dalam Perhimpunan Kongres Maruah Melayu baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.

PRK Tanjung Piai memihak kepada BN apabila memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi.

Calon berkenaan, Jeck Seng menewaskan pencabar terdekat dari Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi serta empat pencabar lain.

Justeru, Prof Nik berpendapat, ‘trend’ pengundian di Tanjung Piai perlu diperhalusi oleh kerajaan serta parti-parti pembangkang, khususnya parti-parti Melayu.

“Orang Melayu kena sedar bagaimana jika ‘trend’ begini berterusan, pada saya mereka perlu lebih prihatin kepada betapa pentingnya perpaduan Melayu dalam kelangsungan politik Melayu akan datang,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan parti-parti Melayu untuk bersatu sekiranya mahu mendapatkan sokongan penuh daripada umat Islam pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Beliau berkata, setiap parti seharusnya memikirkan cara dan inisiatif terbaik untuk bersatu antara satu sama lain.

“Untuk bersatu, mereka perlu ada satu konsensus, yakni bersetuju pada satu perkara asas. Mereka juga harus harus sebulat suara sama ada untuk bersetuju atau tidak bersetuju dalam sesuatu perkara,” katanya.


Tiada ulasan: