Akan terus juang hak satu kaum tanpa ambil kira sensitiviti lain

BANGI- Suasana tegang yang melanda isu pemilikan tanah kampung baru Cina di
Perak merupakan manifestasi kepada gaya politik perkauman yang dimainkan
oleh DAP.
Ketua Penerangan Parti Jemaah Islamiah
Se-Malaysia (Berjasa), Hazwan Mohamad mendakwa, DAP tanpa mengira
sensitiviti kaum lain akan terus memperjuangkan hak orang Cina jika
berlaku sesuatu perkara yang tidak memenuhi kehendak mereka.
Beliau berkata, keadaan seperti itu amat
berbahaya kepada negara kerana akan mengakibatkan berlakunya suasana
politik yang tidak stabil.
“Tindakan mereka tidak selari dengan
semangat Malaysia, mereka (DAP) tidak akan putus asa berjuang isu-isu
(kepentingan mereka) itu.
“Isu ini timbul kerana manifesto yang kita kira sebagai tidak masuk akal dijanjikan kepada pengundi Cina.
“Kemelut di Perak bukan lagi rahsia
kerana dominasi DAP yang menjadi tunjang kerajaan negeri, sebab itu apa
sahaja isu yang tidak menyebelahi mereka tidak akan mendapat restu
kepimpinan atasan DAP,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Semalam, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr
Abdul Aziz Bari berkata, isu pemberian hak milik kekal tanah boleh
diselesaikan melalui bidang kuasa negeri tanpa perlu mendapat
persetujuan perdana menteri mahupun timbalan perdana menteri.
Beliau berkata, perkara itu dinyatakan
secara jelas dalam peruntukan Kanun Tanah Negara bahawa pemberian hak
milik tanah adalah mengikut dasar yang diputuskan pentadbiran negeri.
Sebelum itu, Menteri Besar Perak, Datuk
Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan, kerajaan negeri akan mendapatkan
nasihat Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
serta Majlis Tanah Negeri (MTN) berkaitan isu tersebut sebelum melakukan
tindakan seterusnya.
Mengulas lanjut, Hazwan berkata,
pendirian berbeza di antara Ahmad Faizal dan DAP bukanlah sesuatu yang
mengejutkan kerana pergolakan dua kumpulan berkenaan sudah diketahui
sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai lagi.
Beliau berkata, apa yang penting ketika
ini adalah sudah tiba masa orang Melayu termasuk Cina dan India bersatu
untuk sama-sama mengembalikan kuasa politik Melayu seperti yang pernah
dikecapi sejak 60 tahun lalu.
Jelasnya, dominasi politik Melayu sejak
merdeka telah terbukti berjaya mewujudkan kestabilan dengan semua kaum
dilayan secara adil tanpa sebarang tekanan dan kezaliman.
“Bagi saya tiada masalah untuk berjuang untuk kaum-kaum yang ada di Malaysia, kita tidak boleh lari politik berasaskan kaum.
“Tetapi permainan politik perkauman yang dimainkan oleh DAP yang membuat suasana politik di negara ini tidak stabil,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan