HALAMAN SANTAI

Selasa, 10 Disember 2019

MA63: 17 daripada 21 perkara telah dipersetujui

THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 perkara telah dikemukakan kerajaan Sarawak dan Sabah dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia, dan 17 daripadanya telah mendapat persetujuan bersama, Dewan Negara dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berkata baki empat lagi perkara masih dibincangkan secara tiga penjuru antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ini termasuk isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum; mineral minyak dan medan minyak; Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750]; dan hak negeri ke atas pelantar benua.

“Laporan Jawatankuasa Khas Kabinet ini akan dibentangkan di mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat, seterusnya akan disusuli dengan pengumuman khas oleh perdana menteri,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Theodore Douglas Lind yang mahu tahu perkembangan terkini mengenai beberapa perbincangan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan bila kerajaan Persekutuan akan mengumumkannya secara terbuka.

Menurut Mohamed Hanipa, 17 perkara yang telah mendapat persetujuan adalah:
(i) Tuntutan Duti Eksport Balak Dan Hasil Hutan Di Negeri Sabah;
(ii) Pengedaran Gas Dan Kuasa Kawal Selia Elektrik Dan Gas Di Negeri Sarawak Dan Sabah;
(iii) Pelaksanaan Kerja Raya Persekutuan Di Negeri Sarawak Dan Sabah;
(iv) Tenaga Buruh Di Negeri Sarawak Dan Sabah;
(v) Kuasa Negeri Ke Atas Isu Kesihatan Di Negeri Sarawak Dan Sabah;

(vi) Pentadbiran Pulau Sipadan Dan Ligitan Di Negeri Sabah;
(vii) Isu Pertanian Dan Perhutanan;
(viii) Obligasi Kewangan Persekutuan Di Bawah Senarai Bersama;
(ix) Semakan Semula Pemberian Khas;
(x) Penangkapan Ikan, Perikanan Laut dan Muara;

(xi) Tanah Diberi Hakmilik Kepada Persekutuan di Negeri;
(xii) Kuasa Baki Perundangan Mengenai Alam Sekitar dan Pelancongan;
(xiii) Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan (Pertambahan Perjawatan);
(xiv) Penurunan Kuasa Kepada Mahkamah Sabah dan Sarawak;
(xv) Bidang kuasa Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Autonomi Pentadbiran Mahkamah Sabah dan Sarawak, dan Pengalaman Kehakiman Borneo di Mahkamah Rayuan Bagi Mendengar Kes Difailkan di Borneo;

(xvi) Pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman; dan
(xvii) Duti Setem Yang Dikenakan Ke Atas Instrumen Pemindahan, Caj, Menyewakan Tanah Di Bawah Ordinan Tanah Sarawak Dan Sabah.—Bernama

Tiada ulasan: