HALAMAN SANTAI

Ahad, 8 Disember 2019

Pengerusi SPR nafi bincang kes Rafizi dengan peguam negara

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun.

PETALING JAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun hari ini menafikan membincangkan kes Rafizi Ramli membabitkan National Feedlot Corporation (NFC) dengan Peguam Negara, Tommy Thomas atau mana-mana pegawai Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ini berikutan laporan portal theedgemarkets.com yang memetik Tommy sebagai berkata beliau membuat keputusan untuk tidak memfailkan rayuan dalam kes tersebut setelah berbincang dengan Azhar.

Tommy dilaporkan membuat kenyataan tersebut berikutan laporan bahawa AGC memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan Rafizi di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) kerana didakwa mendedahkan akaun bank membabitkan NFC.

Dalam satu kenyataan Azhar berkata, beliau tidak membincangkan perkara itu dengan peguam negara atau mana-mana pegawai AGC yang mempengaruhi keputusan Tommy berhubung rayuan tersebut atau keputusannya untuk mengambil tindakan ke atas pegawai beliau kerana memfailkan rayuan itu.

“Selain itu, adalah mustahil bagi saya berbuat demikian kerana pada masa itu, iaitu 6 Dis 2019, saya bergegas balik ke rumah untuk mengurus 2 anak saya yang didapati diserang demam dengue.

“Saya berada di sebuah hospital swasta mengurus kemasukan mereka dari kira-kira pukul 7.30 malam pada hari itu hingga pukul 1 pagi esoknya.”

Tommy sebelum ini berkata, beliau akan menarik balik rayuan tersebut berikutan kritikan yang dibuat, termasuk daripada Rafizi, yang berharap peguam negara akan bertindak terhadap keluarga bekas seorang menteri yang terlibat dalam kes NFC.

Azhar berkata, satu-satunya kes beliau berbincang dengan Tommy adalah yang membabitkan naib presiden PKR Tian Chua kerana ia melibatkan SPR secara langsung.
Takiyuddin Hassan.
“Atas kapasiti rasmi, saya meminta nasihat Tommy sama ada mahu membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes itu atau sebaliknya.”

Azhar berkata, beliau merupakan penyokong kuat doktrin pemisahan kuasa.

“Rekod akan menunjukkan bahawa saya sangat tegas berhubung doktrin ini, sekali gus memberi jaminan kepada orang awam bahawa saya tidak akan campur tangan atau masuk campur dalam urusan mana-mana institusi dan agensi kerajaan yang tidak ada kaitan dengan saya, apatah lagi terlibat dalam pembuatan keputusannya.

Dalam perkembangan sama, setiausaha agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, peguam negara hendaklah bertindak mengikut undang-undang dan tidak mengamalkan pendakwaan terpilih.

Beliau berkata, PAS hairan apabila peguam negara mahu menarik balik rayuan yang dibuat oleh pegawai beliau dalam kes Rafizi sedangkan ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) jabatan itu.

“PAS hairan apabila peguam negara merasa terkejut setelah mengetahui pegawai di Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan (mahkamah) berkenaan sedangkan ia adalah prosedur operasi standard (SOP) jabatan tersebut.

“Perkara ini turut disahkan oleh bekas peguam negara, Apandi Ali”, katanya dalam satu kenyataan.

Takiyuddin berkata, lebih menghairankan ialah apabila peguam negara dipetik sebagai berkata bahawa beliau membincangkan perkara itu dengan pengerusi SPR Azhar Azizan Harun, sedangkan kes Rafizi itu tidak ada kaitan dengan pilihan raya maupun SPR.

“PAS menuntut penjelasan peguam negara mengenai perkara ini,” katanya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam baru-baru ini menerima rayuan yang difailkan oleh AGC terhadap keputusan membebaskan Rafizi yang didakwa melanggar Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (Bafia).

Tommy mendakwa beliau mengarahkan pegawainya tidak membuat rayuan tersebut dan berkata akan mengambil tindakan terhadap pihak terbabit yag melanggar arahan.

Tiada ulasan: