HALAMAN SANTAI

Isnin, 16 Disember 2019

Tumpukan tunai manifesto, daripada isu peralihan kuasa PM – Lim

THE MALAYSIAN TIMES
 


BUTTERWORTH: Ahli parti DAP hari ini diingatkan agar tidak mempersoalkan isu peralihan kuasa Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata anggota parti itu tidak sepatutnya membuang masa dengan isu peralihan kuasa Perdana Menteri sebaliknya harus menumpukan tenaga kepada menunaikan baki 40 peratus janji-janji manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Janganlah kita terperangkap dengan laporan media yang selalu suka buat muka depan lawan… bukan lawan musuh tetapi lawan kawan. Janganlah ada pergolakan kuasa dalaman, ini hanya akan mencetuskan ketidakstabilan dalam kerajaan.

“Janganlah persoalkan peralihan kuasa ini yang telah pun diputuskan, biarlah kita tumpukan tenaga, perhatian ke atas menunaikan janji manifesto PH membangunkan negara,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang di sini, hari ini.

Lim berkata isu peralihan kuasa Perdana Menteri telah diputuskan di mana Mahathir telah mengumumkan bahawa akan serah jawatan Perdana Menteri itu selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang akan menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah pada November 2020.

Sebaliknya, Lim yang juga Menteri Kewangan mahu para anggota parti itu menumpukan tenaga untuk dengar suara rakyat dan buat kerja untuk rakyat.

“Kita pun ada masalah parti, dalaman parti sendiri, tapi biar kita bincang dalam sidang tertutup bukan terbuka, setuju tak? Ini kerana apa yg berlaku di dalam parti lain akan melimpah dan kenakan kita juga… kita juga akan kena tempias,” katanya.

Sementara itu, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan meminta agar tiada siasatan dijalankan berhubung laporan mengenai nyanyian lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin dan Arab.

“Mengapa lagu Negaraku dinyanyikan dalam bahasa Arab tidak menjadi isu, tetapi bila dinyanyikan dalam Mandarin, jadi isu sehingga ada yang membuat laporan polis. Saya harap polis tidak menjalankan siasatan ke atas anak kita, biar kan mereka. Mereka tak ada salah.

“Mereka hanya mengikut teks yang disediakan oleh sekolah dan dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan pada 2014 dan diedarkan kepada semua sekolah pada 2015. Sebab itu, saya rasa, mereka ini hanya diberi peringatan bahawa Negaraku kena nyanyi dalam bahasa Melayu, tak perlu siasatan,” katanya.

Bagaimanapun, Lim berkata, DAP tetap dengan pendirian bahawa lagu Negaraku perlu dinyanyikan dalam bahasa Melayu dan bukannya bahasa lain.

Terdahulu, Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang telah dihadiri oleh 376 perwakilan.—Bernama 

Tiada ulasan: