Amerika Syarikat harus "berfikir dua kali" sebelum menyerahkan semula kepada Malaysia wang yang diperolehi hasil siasatan anti-kleptokrasi ke atas dana pelaburan negara 1MDB, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Ini katanya, memandangkan parti yang dituduh mengamalkan rasuah 1MDB sudah kembali berkuasa.
Mahathir, 94, meletak jawatan secara tiba-tiba pada bulan lalu sebelum digantikan oleh Muhyiddin Yassin, yang menubuhkan gabungan baru dengan bekerjasama dengan bekas parti pemerintah, Umno yang ditolak oleh pengundi pada pilihan raya umum 2018 kerana dikaitkan dengan skandal 1MDB.
Jabatan Keadilan (DoJ) AS berkata lebih AS$4.5 bilion dijarah dari 1MDB di bawah bekas perdana menteri Umno, Najib Razak, yang kini dibicarakan kerana didakwa menerima sebahagian besar dana yang diselewengkan itu.
DoJ, dalam kes anti kleptokrasi terbesar, berjaya mendapatkan semula kira-kira AS$1 bilion hasil penyitaan dan penjualan aset yang didakwa dibeli dengan dana 1MDB.
DoJ memulangkan hampir AS$200 juta ke Malaysia pada bulan Mei lalu, tetapi pemindahan kedua yang berjumlah kira-kira AS$240 juta ditangguhkan bulan lalu susulan ketidakpastian berikutan peletakan jawatan Mahathir, kata sumber.
Mahathir memberitahu Reuters, DoJ perlu mempertimbangkan semula keputusannya untuk menghantar semula wang itu ke Malaysia selepas kembalinya parti Najib menjadi kerajaan.
"Apabila kami mengambil alih, DoJ bersedia memulangkannya kerana kami menggulingkan orang yang mencuri duit itu," katanya dalam satu temu bual.
"Sekarang, mereka yang mencuri akan dapat semula wang yang mereka curi itu, saya fikir DoJ perlu berfikir dua kali."
Sekurang-kurangnya enam negara sedang menyiasat dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram 1MDB, yang ditubuhkan oleh perdana menteri pada tahun 2009.
Najib berdepan lima perbicaraan, pertama - melibatkan tujuh pertuduhan berkaitan dengan AS$10 juta yang disalahgunakan dari 1MDB - keputusan perbicaraan dijangka dalam beberapa bulan lagi.
Dia mengaku tidak bersalah dan mendakwa dia dipesongkan oleh Jho Low dan pegawai atasan 1MDB yang lain.
Najib memberitahu Reuters minggu lalu bahawa beliau menjangkakan suasana yang lebih kondusif dan perbicaraan yang adil memandangkan bahawa Mahathir tidak lagi berkuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan