HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Mac 2020

Mungkinkah Shafei Afdal timbalan Muhyiddin?


KITA percaya Muhyiddin Yassin bersama pasukannya kini sedang sibuk membuat percaturan dan perhitungan bagi pembentukan kabinet yang perlu diumumkan dalam masa sehari dua ini.

Beliau perlu membuat pengumuman segera barisan kabinetnya bagi menunjukkan tidak ada masalah berlaku selepas berjaya merampas kuasa dan jadi perdana menteri ke-8.

Kesegeraan membentuk kabinet memberi gambaran kumpulan yang merampas kuasa itu bergerak tanpa menghadapi masalah.
 
Selepas menang selalunya apa yang jadi masalah dan perbalahan adalah soal "ghanimah". Pelantikan anggota kabinet bolehlah dianggap sebagai pemberian "ghanimah". Ramai kini dalam kumpulan perampas itu yang menunggu ghanimah masing-masing. Silap membahagi dan mengagihkan ghanimah, perang besar boleh berlaku.

Dari kejauhan terdengar, apa yang menjadi masalah buat Muhyiddin kini adalah untuk memilih seorang bagi menjadi regunya sebagai TPM. Ia, jawatan timbalan perdana menteri sebagai pembantunya cukup penting. Apa lagi dalam kondisisi diri Muhyiddin "kurang sihat" tentu banyak kerja dan tanggungjawab kerajaan diserahkan kepada timbalan.
Dalam pada itu TPM bukan boleh dilantik sembarangan tanpa memikir implikasi dan kesannya. Kesan kepada pelantikan itu tentulah yang terbaik, memberi nilai tambah kepada kerajaan dan parti gabungan. Seorang TPM akan menjadi pembantu mengukuhkan kerajaan dan memperbesarkan bingkai gabungan.
Walaupun semalam disebut beberapa nama boleh difikirkan untuk dicalonkan sebagai TPM, tetapi mungkin mereka masih belum memenuhi ciri-ciri dan kriteria sepatutnya. Nama-nama disebut semalam hanya dilihat kepada logik berdasarkan kedudukan mereka dalam parti masing-masing. Selain pengalaman dan track record mereka yang pernah berkhidmat dalam kerajaan sebagai menteri.

Semua orang tahu kerajaan dibentuk dengan menerusi rancangan rampasan kuasa dan tidak cukup nombor itu, ia bagaikan telur di hujung tanduk. Keadaanya sangat merbahaya sekali. Sama ada telor bergolek ditiup angin atau tanduk bergerak kerana tersentuh, ia akan jatuh dan telur akan pecah dan musnah.

Kalau telur itu pecah dalam masa tidak sepatutnya, alangkah ia mengejutkan dan memalukan. Kalau boleh biarlah kerajaan baru ini kalau tidak berlaku dalam tempoh 20 bulan, tetapi sekurang-kurang biarlah setelah dua kali sesi parlimen bersidang.

Maka Muhyiddin perlu kepada sebuah kabinet yang mantap, padu dan kemas. Untuk ini beliau memerlukan seorang timbalannya benar-benar dapat memberi nilai tambah buatnya. Apa kata kalau rancangan pembangkang untuk mengemukakan undi tidak percaya di parlimen berjalan seperti di rancangkan, pada sessi pertama parlimen dalam masa terdekat ini. Katakan angka di pihak oposisi yang ada kini lebih 105 tidak berubah, kerajaan Muhyiddin itu boleh sahaja tumbang sekelip mata saja.

Apabila memikirkan keadaan ini tiba-tiba terfikir apakah Muhyiddin bersedia untuk melakukan perubahan tidak meneruskan amalan sebelum ini. Beliau memberanikan diri dengan melantik seorang tokoh daripada Sabah atau Sarawak sebagai timbalan perdana menteri.

Untuk berbuat demikian beliau tidak perlu terikat bahawa TPM semestinya daripada Semenanjung. Sesuai dengan suasana dan senario politik kini yang melewati sempadan, melalui iklim dan landskap baru, mungkin boleh beliau melakukan perubahan ini.

Sesuai dengan kerajaan baharu yang diberikan nama "Perikatan Nasional" dengan slogan untuk menyelamatkan kuasa Melayu dan mendaulatkan Islam, boleh saja beliau memilih tokoh dari seberang itu. Kalau ini berlaku, tokoh yang saya nampak sesuai dengan suasana kini adalah Ketua Menteri Sabah Mohd Shafei Afdal. Shafei kini menjadi ketua kepada Warisan yang memiliki sembilan kerusi parlimen.

Shafei yang menjadi pengerusi Warisan dikaitkan dengan kumpulan yang menyokong Mahathir untuk jadi perdana menteri. Kini sesudah pertarungan dan keputusan muktamad dimana Mahathir sudah kalah, beliau tidak perlu terikat dengan Mahathir lagi. Kedudukan Shafei dan Warisan kini terbuka dan beliau bebas membuat mana-mana pilihan. Jika Shafei meninggalkan Mahathir ia tidak dianggap suatu pengkhianat tetapi satu tindakan berpandangan jauh.

Sebenarnya di antara Shafei dengan Muhyiddin, mereka tidak asing. Keduanya adalah bekas pemimpin tertinggi dalam Umno. Ketika Muhyiddin menjadi timbalan presiden Umno, Shafei merupakan seorang Naib Presiden. Kedudukan dan hubungan itu telah menjadikan mereka kamil, memahami idealisme perjuangan masing-masing. Merekalah juga yang berani menentang Najib Razak kerana skandal 1MDB.

Jadi kalau Shafei diambil untuk bersama ia tidak memelekkan, bahkan munasabah.

Kebersamaan mereka berdua bukan setakat itu sahaja. Jatuhnya kerajaan kleptokrasi pimpinan Najib puncanya adalah mereka juga. Keretakan dan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada Najib apabila mereka bertindak menentang Najib sehingga dipecat daripada Umno.
Kenapa tidak diteruskan penggabungan keberanian dan rasa tanggungjawab mereka itu ke dalam kerajaan yang baru dibentuk itu?Saya fikir ia tidak ada masalah baik untuk Muhyiddin dan juga Shafei untuk duduk bersama demi kepentingan bersama.
Keperluan dan keserasian itu bukan sertakat itu sahaja. Kalau Shafei berjaya ditarik oleh Muhyiddin diletakkan di kerusi nombor 2 itu, ia juga boleh menyelamatkan kerajaan tidak cukup nombor itu. Sudah pasti lapan kerusi yang menyokong Shafei akan turut menyokong Muhyiddin.

Sekali lagi dibilang kalau ini berlaku ia tidak pelik, bahkan dianggap sebagai sejarah. Shafei akan mencatat sejarah sebagai orang Sabah pertama menjadi TPM. Untuk memastikan ini mereka mereka yang ingin atau berasa berhak dan layak jadi TPM, mungkin boleh berkorban untuk menerima Shafei demi mengukuhkan kerajaan Muhyiddin.

Senario politik hari ini di mana Sabah dan Sarawak menjadi king maker dalam pembentukan kerajaan, pelantikan Shafei nanti ia tidak sesuatu yang aneh, bahkan orang akan menyifatkan ia satu keberanian dan kebijaksanaan Muhyiddin untuk memastikan kerajaan dapat bertahan lama.  Bagi Shafei juga tentu beliau akan dianggap pemimpin meletakkan kepentingan Sabah oleh rakyat Sabah.

Sebaliknya kalau yang akan menjadi pembantunya (TPM) nanti terdiri orang yang berpenyakit, atau hanya tahu mengangguk ia tidak banyak membantu Muhyiddin untuk menyelamatkan kedudukannya dan kerajaan.

Lagipun pemilihan tokoh dari Sabah dan Sarawak secara tidak langsung ia boleh menjadi jalan keluar bagi mengelakkan berlaku rasa kecil hati dan terkilan atau berebut kerusi itu dikalangan pemimpin atau perampas yang sejak semalam sudah memimpinkan jawatan TPM.

Kalaulah berlaku apa dibayangkan ini, Shafei bersama Muhyiddin ini bermakna sukarlah untuk PH merampas balik menerusi parlimen kerajaanya yang sudah hilang itu. 
 
 

Tiada ulasan: