Wan Noor Hayati Wan Alias
Penyimpanan
rekod dan dokumen tidak semestinya secara fizikal, ia boleh disimpan
secara digital, dokumen diimbas dan disimpan salinannya di dalam memori
komputer, telefon mahu pun cloud computing service
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sri Dr Sabin Samitah berkata, LHDN akan mempertimbangkan alasan jika dokumen benar musnah akibat bencana atau perkara di luar kawalan.
“Ia bagi mengatasi kehilabgan dokumen kerana berpindah randah atau musnah kerana bencana,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette sini.
Artikel berkaitan: Tiada resit lama, LHDN ‘tarah’ pampasan?
Kelmarin MalaysiaGazette melaporkan aduan beberapa pembayar cukai yang mengeluh kerana terpaksa berhadapan penalti gara-gara tidak dapat menyertakan resit pembelian barangan/perkhidmatan untuk mendapatkan pelepasan cukai.
Menjelaskan lebih lanjut, Dr Sabin Samitah berkata, LHDN menekankan konsep percaya dan suci hati terhadap pembayar cukai untuk melaporkan secara sukarela dalam tempoh ditetapkan Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967), tanpa perlu melampirkan dokumen sokongan ketika pengisytiharan cukai dibuat.
Katanya, konsep itu selaras dengan Sistem Taksir Sendiri (STS) bahawa pembayar cukai tidak perlu lampir dokumen pendapatan dan pelepasan cukai yang dituntut dalam borang nyata cukai.
“Sebagai memudahkan urusan percukaian, LHDN memperkenalkan sistem e-filing sejak 2006 di mana pembayar cukai boleh mengisytiharkan cukai dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter LHDN.
“Di bawah amalan STS, pembayar cukai bertanggungjawab menyimpan rekod dan dokumen percukaian mereka dengan baik selama tujuh tahun seperti termaktub Seksyen 82 ACP 1967.
“Kegagalan menyimpan rekod adalah kesalahan di bawah Seksyen 119A ACP 1967 dan jika sabit kesalahan denda atau hukuman penjara boleh dikenakan,” katanya.
Sabin menambah, LHDN bukanlah agensi terlalu rigid, pembayar cukai masih ada ruang membantah dan merayu jika tidak berpuas hati dengan taksiran dan penalti.
“Pembayar cukai boleh hadir ke LHDN dan diberi peluang untuk berbincang dan memberi maklum balas isu percukaian mereka, malah dialu-alukan hadir ke LHDN setiap Rabu iaitu Hari Bertemu Pelanggan sebagai platform mencari penyelesaian aduan berkaitan.
“Dalam konteks audit pula, ia bukan semata-mata mencari salah tetapi ia kaedah terbaik membuat teguran kepada pembayar cukai berkenaan kesilapan mereka dan memberi pemahaman cukai yang lebih baik,” kata kenyataan itu
LHDN turut mengalu-alukan sebarang cadangan dan ia boleh dikemukakan melalui emel idea_desire@hasil.gov.my. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan