HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 Mac 2020

Semua jalan utama ke pusat bandar raya Kuala Terengganu ditutup

MALAYSIAKINI

Malaysiakini


Polis menutup semua jalan masuk utama ke pusat bandar raya Kuala Terengganu untuk mengawal pergerakan awam sebagai sebahagian daripada perintah kawalan pergerakan yang sedang dikuatkuasakan kerajaan bagi membendung Covid-19.

Ketua Polis Terengganu Roslee Chik berkata hanya mereka yang bertugas di perkhidmatan dan industri penting, atau mempunyai alasan yang munasabah sahaja dibenarkan masuk.

"Bagi individu yang memaklumkan untuk ke tempat kerja, mereka perlu menunjukkan bukti daripada jabatan atau syarikat tempat mereka bertugas sebelum dibenarkan masuk.

"Selain itu bagi individu yang sakit atau hendak membeli ubat, makanan dan serta lain -lain urusan yang dianggap perlu sahaja dibenarkan masuk," katanya seperti dilapor Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata ini adalah inisiatif Jabatan Polis Negeri untuk mengehadkan pergerakan awam bagi menangani penularan Covid-19.

Setakat semalam, 20 orang diuji positif Covid-19 di Terengganu.
Malaysia mencatatkan 1,030 kes setakat tengah hari semalam, iaitu peningkatan 130 kes berbanding hari sebelumnya.

Seorang lelaki berusia 58 tahun di Tawau, Sabah menjadi rakyat Malaysia ketiga yang mati akibat wabak itu.

Kerajaan berkata polis tidak lama lagi terpaksa mengambil tindakan penangkapan dan denda jika rakyat Malaysia terus melanggar perintah kawalan pergerakan yang mula berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

Tentera juga akan dikerahkan bermula Ahad ini untuk membantu polis memantau pematuhan perintah itu.

Individu yang melanggar perintah itu boleh dikenakan denda RM1,000 atau dipenjara sehingga enam bulan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Bagaimanapun, peraturan untuk perintah itu kelihatan berbeza antara negeri.

Sebagai contoh, pada hari Khamis, Pahang mengumumkan bahawa ia akan mengehadkan waktu pembukaan perniagaan di lima daerah - Kuantan, Pekan, Jerantut, Temerloh dan Bentong.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan tempatan di daerah tersebut memutuskan untuk menutup stesen minyak, kedai serbaneka 24 jam dan restoran dari 7 malam hingga 7 pagi untuk tempoh perintah itu.

Pekerja perkhidmatan penting ditahan di sekatan jalan raya di hanya diberitahu pada hari Jumaat bahawa mereka memerlukan surat daripada majikan mereka untuk membuktikan mereka perlu bertugas.

Dalam ucapannya pada hari Rabu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata rakyat Malaysia masih boleh membeli makanan, tetapi digalakkan tinggal di rumah.

Restoran, pasar raya dan pasar basah akan terus dibuka, katanya.

Bagaimanapun, Malaysiakini mendapati bahawa sesetengah pasar raya tidak membenarkan pelanggan yang datang beramai-ramai sementara terdapat laporan kenderaan ditahan di sekatan jalan raya polis kerana membawa lebih daripada satu orang.

Perdana menteri sebelum ini memberitahu rakyat Malaysia agar tidak membuat perjalanan antara negeri, tetapi bas ekspres antara negeri terus beroperasi.

Tiada ulasan: