
Setelah sekian lama menyepi, Ibrahim Mat Zin atau gelarannya "Raja Bomoh" membuat kemunculan semula di saat dunia menghadapi penularan wabak Covid-19.
Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Melaka semalam, dia mendakwa telah memagar seluruh dunia, khususnya Malaysia, daripada wabak tersebut selepas diminta berbuat demikian, selain rasa tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia.
"Rakan-rakan bomoh dari seluruh dunia telah meminta saya untuk memulihkan wabak Koronavirus yang bermula di China dan kini telah masuk ke Malaysia.
"Kita akan cuba daya usaha kita dengan menggunakan globe atau peta dunia ini, kita akan tepung tawar dan renjiskan...Tujuan kita memagar seluruh Malaysia adalah untuk menyelamatkan 32 juta rakyat Malaysia yang berbilang kaum," katanya dalam rakaman itu.
Ibrahim memang dikenali dengan pelbagai aksi aneh, dan untuk upacara "memagar" kali ini, dia antara lain menggunakan teleskop milik moyangnya - yang didakwa sebagai seorang bomoh - beras kunyit serta daun pandan.
Setakat ini video itu telah ditonton sebanyak 118 ribu kali dengan lebih 1000 kongsian.
Menerusi
rakaman itu, Ibrahim turut menyeru orang ramai agar mematuhi perintah
kawalan pergerakan serta mengamalkan langkah pencegahan sepatutnya
seperti membasuh tangan.
"Jadi, saya berharap semua kita jangan keluar dari rumah kerana sakit ini belum ada penawarnya. Ini penawar (jampi) sahaja," katanya sebelum memulakan upacara "memagar" tersebut.

Ibrahim mula menjadi perhatian umum di saat kehilangan kapal terbang MH730 pada 2014, dengan melakukan ritual di KLIA Sepang untuk membantu mengesan kapal terbang itu dengan menggunakan buah kelapa dan buluh yang dijadikan "teropong".
Pada 2017 pula, ketika hangat isu pembunuhan abang pemimpin Korea Utara iaitu Kim Jong Nam, dia sekali lagi membuat kejutan dengan membuat ritual di beberapa lokasi menggunakan buah kelapa, buluh, dan lima meriam buluh, untuk melindungi negara daripada dakwaan serangan nuklear oleh Korea Utara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan