ULASAN
| Langkah menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) oleh fraksi
Bersatu yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin tidak ada kaitan dengan
wabak Covid-19 atau ekonomi.
Walaupun ketika rampasan kuasa itu
berlaku, wabak tersebut sudah sampai ke Malaysia dan kesan buruk
terhadap ekonomi telah mula dirasai, namun ia tidak timbul dalam
perbahasan mengapa Bersatu perlu keluar daripada PH.
Yang
dimanterakan ialah Bersatu akan kalah teruk dalam pilihan raya umum
(PRU) akan datang atau hanyut terus kalau kekal dalam PH kerana orang
Melayu tidak boleh menerima DAP.
Fraksi
yang menyokong Muhyiddin nampaknya amat yakin dengan mantera itu.
Mereka membangkitkan kekalahan calon-calon Bersatu dalam pilihan raya
kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dan Dewan Undangan Negeri (DUN)
Semenyih sebagai contoh.
Itulah mantera mereka ketika mesyuarat
tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 23 Februari lalu.
Rayuan Pengerusi Bersatu merangkap perdana menteri ketika itu, Dr
Mahathir Mohamad agar tidak dipaksa mengorbankan prinsip dan janji
beliau kepada PH telah tidak dihiraukan.
Sebaliknya, apa yang kini dikenali sebagai Langkah Sheraton telah diadakan sebelah malamnya di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.
Itulah
permulaan jatuhnya kerajaan PH yang dipilih oleh rakyat jelata dalam
PRU14 pada 9 Mei 2018 dan tertubuhnya apa yang dipanggil kerajaan
Perikatan Nasional (PN).
Hakikat bahawa pandemik Covid-19 telah
mula merebak dan ekonomi negara sedang menuruti ekonomi global ke arah
kemelesetan tidak menjadi pertimbangan utama. Matlamat Langkah Sheraton
adalah politik semata-mata.
Jadi, tidak hairanlah kalau kerajaan
PN nampak meraba-raba dalam menangani wabak Covid-19 dan menangani
krisis ekonomi yang sedang melanda.
Nasib baik Noor Hisham cekap
Nasib
baiklah dalam hal pandemik Covid-19 ini negara mempunyai kepimpinan
perkhidmatan awam yang sangat cekap di bawah Ketua Pengarah Kesihatan,
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan perancangan yang diwarisi daripada
kerajaan PH.
Laporan berita pada 9 April memetik Dr Noor Hisham
sebagai berkata, bahawa kejayaan menangani Covid-19 adalah hasil
perancangan bulan Disember lalu.
Kita wajib bersyukur kerana mempunyai seorang pegawai perkhidmatan awam yang berkaliber dan dihormati seperti Dr Noor Hisham.
Kaedah
rawatan yang digunakan di negara kita nampaknya berkesan. Antaranya
ialah kerana kita mempunyai banyak jenis penyakit berjangkit yang sudah
ada ubatnya yang boleh dicuba ke atas pesakit Covid-19.
Ahli sains
dan penyelidik antarabangsa telah pun membuat kajian dan mendapati
imunisasi bagi beberapa penyakit seperti Baccille Calmette Guerin atau
BCG untuk batuk kering boleh membantu memberi perlindungan sampingan
terhadap Covid-19.
Yang lebih merisaukan ialah tahap kesiapsiagaan kerajaan PN dalam menangani isu ekonomi yang semakin meruncing.
Ahli
ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid yang juga bekas penasihat ekonomi
kepada Dr Mahathir berkata, walaupun Muhyiddin mengumumkan dua pakej
rangsangan ekonomi dalam tempoh dua minggu, namun kesan kelewatan
memberi bantuan kepada rakyat jelata sudah mula kelihatan.
Dalam
analisis terbarunya di media massa, Dr Muhammed berkata, ramai pekerja
telah hilang mata pencarian dan adalah tidak mustahil akan mengalami
masalah mendapatkan makanan yang cukup dalam bulan puasa nanti.
Kesimpulannya,
mengambil alih kerajaan tidak sukar bagi Muhyiddin. Mengawal Covid-19
pun rasanya tidaklah mustahil. Yang lebih mencabar adalah menyekat
ekonomi negara daripada meleset ke tahap yang sukar dipulihkan semula
pada waktu mana kebuluran akan menjadi kenyataan.
*A KADIR JASIN merupakan tokoh wartawan dan pernah menjadi penasihat media Dr Mahathir Mohamad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan