KOTA KINABALU: Polis Sabah kini menyiasat klip video tular yang menyaksikan seorang anggotanya dilihat memukul 5 orang dengan sebatang kayu kerana melanggar perintah kawalan pergerakan di daerah Kunak di pantai timur negeri itu.
Dalam klip berdurasi 27 saat yang sebelum ini tular di media sosial, seorang anggota polis dilihat memukul 5 remaja, yang dilihat duduk di atas tanah di hadapan sebuah masjid di sebuah kampung di daerah itu.
Dipercayai insiden itu berlaku semalam.
Timbalan Ketua Polis Sabah Mazli Mazlan berkata, siasatan sedang berjalan walaupun tiada laporan rasmi dibuat.
“Saya difahamkan bahawa anggota polis itu mengarahkan 5 remaja terbabit, yang didapati merayau-rayau di kawasan itu, supaya balik ke rumah sebelum meneruskan tugas rondaannya.
“Bagaimanapun apabila beliau kembali ke kawasan sama selepas itu, kumpulan tersebut masih berada di situ. Beliau sekali lagi menyuruh mereka balik, tetapi diketawakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kumpulan remaja tersebut dibenarkan balik selepas insiden berkenaan.
“Siasatan dalaman sedang dibuat sekarang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan