
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri tidak menyatakan kerajaan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebaliknya, periksaan itu perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa hadapan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, UEC telah mendapat pengiktirafan
sebahagian (partial recognition) apabila kerajaan pada masa lalu telah
menerima lepasan UEC untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda
Perguruan (PISMP) dalam bidang pengkhususan Bahasa Cina di Institut
Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
”Kerajaan pada tahun 2012 telah menerima lepasan UEC untuk mengikuti program PISMP dalam bidang Bahasa Cina dengan syarat mereka lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperolehi sekurang-kurangnya gred kepujian dalam Bahasa Melayu,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas isu pengiktirafan UEC dibangkitkan dalam pertemuan pimpinan Hua Zhong dengan Muhyiddin pada 16 Julai lalu.
Sebelum ini, Hua Zhong mendakwa, Muhyiddin secara peribadi berharap pada suatu hari nanti kerajaan akan mengiktiraf UEC.
Menurut pertubuhan itu, Muhyiddin juga menyatakan harapan tersebut semasa mereka mengadakan pertemuan di bangunan Parlimen.
Hua Zhong turut mendakwa Perdana Menteri menyatakan kesanggupan kerajaan berunding dengan mereka serta pertubuhan lain mengenai isu UEC.
“Bagaimanapun Perdana Menteri meminta semua pihak memahami dasar dan keadaan dalam negara,” kata pertubuhan itu.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu Tian Khiew juga mahu Muhyiddin mengotakan janji untuk mengiktiraf UEC seperti mana yang dijanjikan beliau dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sewaktu masih bersama Pakatan Harapan (PH).
Katanya, meskipun Muhyiddin dan Bersatu sudah tiada dalam PH namun ia bukan satu alasan baik untuk mengenepikan janji pengiktirafan yang pernah dipersetujui mereka. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan