Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyelar tindakan jemaah
menteri menaikkan kadar maksimum kompaun terhadap individu dan
pertubuhan perbadanan dalam pindaan terhadap Akta Pencegahan dan
Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyifatkan kadar maksimum kompaun
terhadap individu dan pertubuhan perbadanan sehingga masing-masing
RM10,000 dan RM1 juta sebagai tidak masuk akal.
“Bagaimana Kabinet boleh bersetuju untuk pindaan ini? Buat
undang-undang macam tulis di kedai mamak. Saya bukan mahu menghina
pengusaha kedai mamak.
“Mesyuarat Kabinet lulus macam di kedai mamak. Inilah undang-undang yang diluluskan di Kabinet untuk dibawa ke dalam Parlimen.
“Tergamak jemaah menteri termasuk Menteri Agama dan seluruh anggota
Kabinet daripada Umno dan Bersatu. Tergamak buat undang-undang denda
RM100,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau
kedua-duanya sekali.
“Apa punya hati perut jemaah menteri, busuknya hati perut,” katanya dalam forum menerusi saluran ThePerspektif TV.
Mahfuz yang juga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia menegaskan
pindaan terhadap Akta 342 dalam usaha memerangi Covid-19 tidak harus
menghukum.
“Kita mahu ada kawalan, kena pakai pelitup muka, ikut SOP, tapi biar yang berpatutan,” tambahnya lagi. MALAYSIA DATELINE
MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengakui kerjasama Umno dan PAS
semakin serasi dan meminta kepimpinan Umno tidak membuat keputusan
terburu-buru dalam menentukan hala tuju hubungan kedua-dua parti.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau itu mengakui beliau antara
individu yang skeptikal dan mengkritik penubuhan Muafakat Nasional (MN)
sebelum ini sehingga dikecam beberapa pihak.
“Tetapi sekarang ini ramai pula yang nak (Umno) keluar MN. Saya rasa
kita (Umno dan PAS) sudah serasi, saya pun sudah serasi dengan PAS dalam
jemaah menteri.
“Kita ada kerjasama yang baik jadi biarlah kita fikir dengan baik
perkara ini dan jangan buat apa-apa keputusan dengan terburu-buru,”
katanya pada Wawancara Khas ‘Dilema Covid dan Politik’ disiarkan
Facebook Umno Online malam tadi, lapor Berita Harian.
Kelmarin Muzakarah Majlis Syura ‘Ulamak PAS setuju untuk menegaskan
kepentingan ‘Memperkasakan MN dan Perikatan Nasional (PN)’ dalam usaha
menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan
negara.
Marsyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata kata sepakat itu
diputuskan pada sidang berkenaan bertajuk ‘Hala Tuju Ta’awun Siyaasi dan
Misi Pilihan Raya PAS Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15’.
Katanya, perundingan kerusi antara parti Melayu Islam perlu
dilaksanakan semaksimanya bagi mengelak pertembungan tiga penjuru dalam
PRU15 dan bagi mendapat kemenangan majoriti besar.
Sementara itu, Khairy berkata, Umno mempunyai dasar parti berhubung
kerjasama dengan Bersatu yang diputuskan melalui Perhimpunan Agung Umno
lalu.
“Keputusan Perhimpunan Agung adalah paling tinggi, maka kita patuh. Itu muktamad di situ, noktah,” katanya. – Malaysiapost
HEBAHAN mengenai misi bantuan banjir yang dilaksanakan Umno bukan
bermaksud riak, tetapi demi mengelakkan fitnah dan atas asas ketelusan
mengenai agihan sumbangan yang diberikan pelbagai pihak.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata tidak timbul
soal riak kerana Umno adalah organisasi yang ditubuhkan dari awal
memperjuangkan kepentingan dan kebajikan rakyat.
Menurutnya, ada pihak yang mempertikaikan misi bantuan dijalankan
Pemuda Umno ketika ini dalam membantu dan memberi sumbangan kepada
mangsa banjir yang dikatakan ingin menunjuk-nunjuk.
“Imam Al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin dalam membahaskan perihal
menghebah-hebahkan kerja kebajikan dan sedekah yang dibuat oleh pemimpin
dan individu biasa.
“Beliau mengharuskan pemimpin untuk menghebahkannya kerana akibat
menyembunyikan kebaikan dan amal kebajikan boleh pula mengakibatkan
fitnah kepada pemimpin; yang lebih memudaratkan berbanding dengan
individu biasa.
“Akhirnya soal hati yang ikhlas hanya Allah Yang Maha Mengetahuinya,” katanya di Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, dalam konteks organisasi seperti Pemuda Umno,
amat mustahak dihebahkan khidmat bakti dan segala bantuan yang diberikan
bukan sahaja untuk elak fitnah tetapi juga atas asas ketelusan supaya
penyumbang-penyumbang yang ikhlas memberikan sumbangan.
“Ini bagi menunjukkan bahawa kami memang turun, menyampaikan segala
sumbangan yang diamanahkan dan bekerja kuat sehabis baik membantu rakyat
yang susah,” katanya. – Malaysiapost
MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) berpendirian Perdana Menteri dan
anggota Jemaah Menteri wajib memberi penjelasan penuh dalam satu sidang
khas Parlimen khusus berhubung banjir besar kali ini.
Menurutnya menerusi kenyataan hari ini, pihaknya turut berpandangan
kerajaan perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan satu
Suruhanjaya Siasatan Diraja.
Katanya, ia selaras dengan titah Tuanku bahawa satu pascanilai
(postmortem) banjir besar ini dilakukan, termasuk juga buat Sabah dan
Sarawak.
“Ini bagi mengenalpasti segala kelemahan perancangan dan kelewatan
pelaksanaan dapat diatasi, termasuk kepincangan yang dinyatakan dalam
Laporan Ketua Audit Negara sebagaimana didedahkan Ahli Parlimen
Segambut.
“Ia berhubung enam kolam takungan banjir di Kuala Lumpur yang telah diberi milik untuk tujuan pembangunan,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar
Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan
Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.
Dalam pada itu Majlis Presiden PH turut mengucapkan jutaan terima
kasih buat semua petugas, sukarelawan dan dermawan yang membantu dalam
pelbagai misi menyelamat, membersih, dan memulihkan kawasan yang sangat
terjejas akibat banjir.
Menurutnya, semangat para sukarelawan mungkin diperlukan lagi bagi membantu menghadapi gelombang kedua banjir di pantai timur Semenanjung Malaysia.
“Pada masa sama, suara rakyat kedengaran di media sosial amat lantang
mengkritik respon Jemaah Menteri yang sangat lembab atau dilihat
setakat ‘berwayang’ tanpa benar-benar membantu mangsa banjir, termasuk
di Sabah iaitu di Tenom pada Mei dan Penampang pada Semptember lalu.
“Kesan banjir besar dari segi kerosakan harat benda dan kehilangan
nyawa hampir 50 orang kali ini amat ketara dan mengguris hati.
“Malah fenomena ini membuka mata kita semua kepada realiti bahawa
perubahan iklim dan aktiviti manusia khususnya pembalakan berleluasa dan
pembangunan tidak mampan akhirnya memberi kesan amat negatif buat
rakyat,” katanya. – Malaysiapost
KUALA
LUMPUR– Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menegaskan
segala yang diputuskan oleh parti menerusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU)
iaitu tidak akan kerjasama dengan PPBM pada Pilihan Raya Umum (PRU)
ke-15 akan terus dipegang selain keputusan untuk menyokong Perdana
Menteri (PM) di dalam kerajaan sedia ada hari ini.
Menurut beliau yang juga Menteri Kesihatan, menteri-menteri daripada
UMNO yang berada dalam kerajaan hari ini sudah tentulah mahu
melaksanakan tugas dengan baik kerana ia adalah cerminan dari kepimpinan
parti.
“Kita perlu mengimbangi hasrat berkenaan dan selagi belum sampai Pilihan
Raya Umum ke-15, maka pelbagai perkara yang melibatkan pengurusan
pandemik, pengurusan ekonomi dan sebagainya mesti dilaksanakan
sebaiknya.
“Parti telah buat keputusan iaitu untuk tidak bersama dengan PPBM
pada PRU akan datang dan itu usul dalam PAU, tetapi parti juga telah
buat keputusan untuk menyokong Datuk Seri Ismail Sabri sebagai PM dalam
kerajaan sedia ada… maksudnya kerajaan yang masih lagi ada Perikatan
Nasional (PN).
“Jadi kami menteri daripada UMNO yang berada dalam jemaah menteri
mesti mengimbangi antara semangat dan juga hasrat UMNO untuk tidak lagi
bersama mereka pada PRU… jadi kita ikut keputusan parti, tetapi selagi
kita belum sampai PRU-15 kita terpaksa ada satu dengan istilah mungkin
‘working relationship’… satu hubungan profesional antara parti-parti
yang ada di dalam kerajaan ini untuk menjayakan pengurusan pandemik,
pemulihan ekonomi dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program bual bicara anjuran Penerangan
UMNO Malaysia (PUMAS) yang membicarakan soal ‘Dilema COVID &
Politik’ di sini, malam tadi. Program tersebut dihoskan Dr Mohd Fauzi
Shafiee dan disiarkan secara langsung menerusi medium facebook rasmi
UMNO Online menerusi pautan https://www.facebook.com/mediaumnomalaysia.
Khairy seterusnya menyangkal dakwaan-dakwaan negatif segelintir ahli
parti yang antara lain menyifatkan menteri daripada UMNO adalah
pengkhinat dan sebagainya.
“Itu yang boleh saya simpulkan kepada ahli-ahli UMNO yang mungkin rasa… oh kluster menteri ini mereka adalah pengkhianat…no…
kita ikut apa yang PAU putuskan tetapi sewaktu kita berada dalam
kerajaan pada waktu ini mengurus pandemik, mengurus ekonomi, kita mesti
ada ‘working relationship’. Kita mesti ada hubungan profesional untuk
menjayakan program pemulihan sebagaimana hari ini.
Jelasnya, beliau tidak pernah melaksanakan usaha membelakangi atau
melemahkan UMNO sebaliknya mahu melaksanakan tugas dengan baik kerana ia
akan mencerminkan pemimpin daripada UMNO yang mampu melaksanakan
amanah.
“Setiap keputusan yang dibuat adalah bagi melindungi rakyat, selain
mengelakkan berlaku kenaikan mendadak kes positif wabak COVID seperti
yang berlaku selepas PRN Sabah tahun lepas. – UMNO Online
“Kadang-kadang kita rasa tersepit sebab kebetulan pula sekarang ini
disebabkan kepimpinan parti tidak dicerminkan dalam kepimpinan kerajaan.
Maksudnya kita dalam UMNO sebelum ini kita sinonim presiden adalah PM
dan PM adalah presiden UMNO. Manakala sekarang ini tidak mencerminkan
sepenuhnya.
“Datuk Seri Ismail Sabri adalah Naib Presiden dan saya sendiri bukan
ahli MKT dan sebagainya. Jadi untuk sekarang ini saya nampak menjelang
PAU walaupun ditangguhkan disebabkan banjir, Omicron dan sebagainya,
saya harap dapat murnikan balik kepimpinan parti dan kepimpinan
kerajaan. Sebab akhirnya kita UMNO dan semuanya daripada UMNO dan kita
mahu perkara yang sama iaitu kemenangan UMNO dan BN pada PRU akan
datang,”ujarnya.
Ujar beliau lagi gerak kerja jemaah menteri daripada UMNO seharusnya
dijadikan penilaian terbaik sebelum sebarang kesimpulan dibuat dan
mengambil contoh bagaimana pada PRN Melaka, langkah Kementerian
Kesihatan yang memperketatkan SOP dan sebagainya telah menghasilkan
‘outcome’ yang cukup baik apabila tidak berlakunya penyebaran atau pun
kemunculan kluster PRN melaka.
“Kalau kita lihat di Melaka, ramai yang kata ini akan mencetuskan
kluster tetapi setelah mungkin hampir dua bulan selepas PRN Melaka
tidak ada kluster pun di Melaka dan itulah keberhasilan dan ‘outcome’
yang kita mahu daripada Kementerian Kesihatan. Jadi sumbangan saya
kepada kerajaan harus dilihat dari sudut bagaimana saya melaksanakan
tugas sebagai menteri kesihatan. Saya nak jadi menteri yang mewakili
UMNO yang menjalankan tugas dengan baik dan itu sumbangan kepada parti.
“Saya tidak fikir langsung pun nak melemahkan UMNO. Saya hanya
fikirkan dari segi kesihatan awam dan saya hanya fikirkan keselamatan
calon, pengundi, jentera supaya mereka juga tidak dijangkiti dan
akhirnya kaedah kempen yang baharu ini telah pun digunapakai dengan baik
oleh semua pihak. Satu ketika kita umumkan ini menyekat, ini
menyusahkan dan sebagainya tetapi akhirnya kempen media sosial menjadi
sesuatu yang mudah untuk difahami dan mudah sampai mesej kepada rakyat.
“Ketiganya walaupun kempen rumah ke rumah tidak dibenarkan tetapi
mereka masih pergi hantar risalah dan sebabaginya. Saya nampak tidak ada
masalah pun untuk sampaikan mesej kepada rakyat. Jadi ini lebih kepada
bagaimana parti nak mengadaptasi kepada norma baharu dan kita lihat
dapat adaptasi dan akhirnya BN tidak ada masalah pun mencapai
kemenangan.
“Apa yang saya nak sampaikan biarlah menteri-menteri di dalan jemaah
menteri daripada UMNO dilihat mentumbang ke arah kebaikan dalam parti.
Jangan kita jadi bahan cemuhan,” ujarnya.- UMNO Online
KANGAR: PASTI Perlis melancarkan kempen mengumpul dana bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di beberapa negeri.
Pengarah
PASTI Perlis Asrul Aimran Abd Jalil berkata, kempen sumbangan RM1 bagi
menerapkan nilai murni khasnya kepada murid-murid PASTI untuk turut
menderma.
Katanya, kempen RM1 dilancarkan bagi meringankan
bebanan mangsa banjir yang berdepan dengan kesukaran akibat banjir besar
baru-baru ini.
“Kempen ini bukan sahaja untuk murid PASTI, malah melibatkan guru,
staf pengurusan dan ibu bapa pelajar PASTI untuk menyumbang minimum RM1.
“Usaha itu sebagai tanda kebersamaan kita kepada mangsa-mangsa banjir
yang bergelut dengan banyak kesukaran untuk meneruskan kelangsungan
hidup,” katanya ketika dihubungi di sini.
Kata beliau seluruh warga PASTI Perlis turut berdukacita dengan musibah yang berlaku di negeri terbabit.
Oleh itu menurutnya sebagai tanda PASTI Perlis bersolidariti dengan
mangsa-mangsa banjir, orang ramai diajak sama-sama menyumbang.
Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam Malaysia – 09010010050299 atas nama Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis (PASTI).
Bukti sumbangan boleh diWhatsApp ke talian 013 8766 463 atau emel ke pastiperlis2012@gmail.com untuk tujuan rekod.
Selain itu semua PASTI cawangan di Perlis menyediakan tabung untuk memudahkan ibu bapa dan murid menghulurkan sumbangan. – HARAKAHDAILY
KOTA BHARU: PAS
Sarawak tetap menawarkan khidmat kebajikan kepada rakyat di Dewan
Undangan Negeri (Dun) Beting Maro biarpun tidak menang pada Pilihan Raya
Negeri (PRN) baru-baru ini.
Setiausahanya, Mohammad Arifiriazul
Pijo berkata, pihaknya menetapkan tiga fokus pasca PRN tersebut bagi
memastikan sokongan rakyat di negeri Bumi Kenyalan terhadap PAS tidak
pudar.
Menurut beliau penubuhan Pusat Khidmat Masyarakat Dun
Beting Maro ketika kempen pilihan raya baru-baru ini menjadi pemangkin
terhadap kerja kebajikan dan menjadi tempat aduan masyarakat.
“Keduanya untuk sama-sama kita meneruskan agenda pendidikan di Beting
Maro, sekarang kita sudah ada sebuah PASTI dan kita merancang untuk
menubuhkan setidak-tidaknya dua lagi.
“Tumpuan kita juga untuk mewujudkan jentera tempatan dan organisasi
PAS cawangan di Beting Maro supaya selepas ini dapat mengerakkan sendiri
agenda parti,” katanya.
Beliau ditemui ketika kunjungannya ke Pejabat Perhubungan PAS Negeri semalam, sempena lawatan ke Kelantan.
Bekas calon Dun Beting Maro itu berkata, Dun berkenaan sangat sinonim
malah menganggap lokasi tersebut sebagai ‘anak angkat’ kepada PAS
Kelantan dalam lima kali siri PRN.
Jelas beliau juga PAS Sarawak menagih sokongan serta pengalaman PAS
Kelantan untuk memperkasakan lagi gerak kerja di Dun tersebut.
Pada PRN ke-12 baru-baru ini Arif Paijo hanya ketinggalan 1,711 undi
di belakang calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Razaili Gapor. Manakala
tiga lagi calon termasuk PKR hilang wang pertaruhan. – HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’
Siti Zailah Mohd Yusoff tidak dapat melelapkan mata memikirkan nasib
rakyat yang tinggal di kawasan berisiko banjir.
Beliau berkata,
ekoran daripada ramalan cuaca yang akan membawa hujan lebat dan banjir
besar pada semalam dan hari ini, pihaknya berusaha sedaya upaya untuk
memastikan rakyat selamat.
Advertisement
“Pusat pemindahan sementara (PPS) bersiap sedia untuk menerima mangsa
gelombang kedua banjir dan semua agensi kerajaan juga bersiap sedia,”
ujarnya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook beliau, malam tadi.
Menurutnya, di Rantau Panjang pihak Jabatan Parit dan Saliran Negeri Kelantan membuat benteng untuk menutup empat culvert dan dua jambatan yang memungkinkan air Sungai Golok boleh masuk sekiranya paras air sungai naik akibat banjir dari Jeli.
Beliau menambah, malam tadi kerja penambakan diteruskan bermula pada siang dan tiga tempat sudah siap.
“Insya-Allah jika siap semuanya, maka dapat menyelamatkan penduduk
setempat dari air banjir yang datang dari Sungai Golok masuk ke Sungai
Lancang dan kampung sekitar yang baru saja kering daripada banjir
gelombang pertama.
“Semoga Allah permudahkan urusan. Sama-sama kita berdoa agar dijauhi
dari musibah besar di negara kita,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Siti Zailah juga menyeru supaya diperbanyakkan munajat dan solat
hajat serta mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu. – HARAKAHDAILY
DESAS-desus akan ada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang seterusnya di
Johor selepas Sabah, Melaka dan Sarawak bukan lagi cakap-cakap kosong
sebaliknya perkara itu hampir pasti berlaku tidak lama lagi jika tiada
apa-apa halangan.
Beberapa sumber memaklumkan, mereka sudah mendapat signal daripada
pihak atasan untuk bersiap sedia menghadapi PRN pada bila-bila masa
sahaja dari sekarang.
Tidak menghairankan apabila dikatakan keinginan untuk membubarkan
Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN bukannya
datang dari pihak lawan tetapi suara UMNO sendiri yang mahu lebih
dominan walaupun kini mereka mengetuai kerajaan Johor.
Memang jika diikutkan sebelum pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang meninggal dunia pada 21 Disember
lalu pun, kedudukan kerajaan negeri hasil kesepakatan UMNO, Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan MIC boleh dikatakan sudah
getir.
Tetapi Bersatu dan Pas walaupun menyatakan sokongan kepada Datuk
Hasni Mohammad dari bawah payung Perikatan Nasional (PN) tidak pernah
sama sekali menggugat kedudukan ADUN Benut itu untuk terus mentadbir
Johor.
Cuma sekali dua mereka mengingatkan pemimpin UMNO lain bahawa ADUN
dari Bersatu juga boleh menarik sokongan bila-bila masa. Itu pun ketika
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang diganggu kedudukannya
selaku Perdana Menteri.
Pada masa lain, tiada seorang pun daripada 12 wakil rakyat Bersatu
termasuk Allahyarham Osman benar-benar membuat langkah yang mengubah
kedudukan walaupun mereka boleh sahaja buat dengan sekelip mata. Tetapi
mereka tetap berpaksi kepada prinsip rakyat harus diutamakan.
Jadi mengapa tetap mahu juga PRN walaupun dalam landskap politik
semasa di Johor, beberapa pihak mengakui agak sukar untuk Hasni bekerja
berdasarkan hanya satu sahaja kelebihan kerusi iaitu 28-27 kerana susah
untuk beliau membuat sesuatu keputusan disebabkan partinya bukan
dominan.
Namun perkara itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk UMNO mahu
mengadakan PRN dalam masa terdekat kerana mereka seharusnya memikirkan
keadaan semasa negara dan Johor sendiri yang masih dilingkari isu
pandemik Covid-19.
Apatah lagi Johor antara negeri tidak terlepas dilanda banjir setiap
tahun diramal akan berdepan bencana itu sedikit masa lagi. Wajarkah
ketika rakyat cuba bangkit membina semula kehidupan mereka perlu
berdepan pula dengan ragam politik yang memualkan ramai pihak ketika
ini.
Bukan sahaja PN, bahkan Pakatan Harapan (PH) yang kini memiliki 27
kerusi DUN di Johor juga tidak mahu PRN diadakan dalam waktu yang tidak
sesuai kerana mereka juga sudah berikrar untuk bersama-sama mendahului
rakyat yang ditimpa musibah.
Ketika ini pun kerajaan Johor berjalan dengan baik, malah buat
pertama kali juga di bawah pentadbiran Hasni bersetuju memberikan
peruntukan tahunan sama rata yang berjumlah RM200,000 kepada semua ADUN
termasuk pembangkang agar sama-sama memberikan perkhidmatan terbaik
kepada rakyat.
Dalam Belanjawan Johor 2022 itu juga, sudah lulus peruntukan tambahan
RM50,000 lagi kepada mereka bagi tujuan bantuan pembiayaan
perayaan-perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina,
Deepavali dan lain-lain.
Sebelum itu lagi, Hasni sudah beberapa kali memberikan peruntukan
kepada semua ADUN Johor yang tahun ini sahaja tidak kurang RM200,000
disalurkan untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing yang terjejas
Covid-19.
Benarkah dakwaan bahawa pihak yang mencadangkan PRN diadakan di Johor
bukan bertanding pun di negeri itu tetapi mempunyai perancangan dan
agenda sendiri yang lebih besar dan menguntungkan laba politiknya.
Malah mereka dikatakan sudah mendapat restu untuk melakukan PRN
sekiranya benar boleh menang dua pertiga daripada 56 kerusi DUN di Johor
seperti dicapai di Melaka yang ketika itu peratusan keluar mengundi
rendah dan belum ada undi daripada golongan 18 hingga 20 tahun.
Bukan tidak boleh mengadakan PRN kerana proses demokrasi itu memang
dijamin dalam Perlembagaan, tapi yang jadi isu sekarang adalah masanya
yang tidak sesuai apatah lagi dengan penemuan varian baharu Covid-19,
Omicron selain tidak lama pun lagi sebelum penggal tamat secara
automatik.
Jadi perlukah buat PRN dalam masa terdekat. Esok sudah 1 Januari
2022, tidak boleh kah UMNO tunggu sedikit masa lagi atau bila tiba waktu
yang betul-betul sesuai untuk buat PRN jika betul mahu dapatkan semula
mandat rakyat yang dicanang-canang atau sebenarnya mahu lebih berkuasa
seperti dulu-dulu.
PAKATAN Harapan (PH) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob dan Jemaah Menteri memberi penjelasan penuh di Parlimen
berhubung bencana banjir yang melanda negara.
Pada masa sama, Majlis Presiden PH turut berpandangan supaya
ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) disebabkan kegagalan
kerajaan menguruskan bencana banjir.
Menurut Majlis Presiden PH, kesan banjir besar dari segi kerosakan
harta benda dan kehilangan nyawa amat ketara serta mengguris hati.
Malah, katanya, fenomena itu telah membuka mata kepada realiti bahawa
perubahan iklim dan aktiviti manusia khususnya pembalakan yang
berleluasa serta pembangunan tidak mampan akhirnya memberi kesan negatif
kepada rakyat.
“Majlis Presiden PH berpendirian bahawa Perdana Menteri dan Jemaah
Menteri wajib memberi penjelasan penuh dalam satu sidang khas Parlimen
khusus berhubung banjir besar ini.
“Kami turut berpandangan bahawa kerajaan perlu menasihati Yang
di-Pertuan Agong untuk menubuhkan satu RCI selaras dengan titah Seri
Paduka bahawa satu pascanilai banjir besar ini dilakukan termasuk buat
Sabah dan Sarawak.
“Ini bagi mengenal pasti segala kelemahan perancangan dan kelewatan
pelaksanaan dapat diatasi termasuk kepincangan yang dinyatakan dalam
Laporan Ketua Audit Negara sebagaimana didedahkan Ahli Parlimen
Segambut, Hannah Yeoh berhubung enam kolam takungan banjir di Kuala
Lumpur yang telah diberi milik untuk tujuan pembangunan,” katanya dalam
kenyataan hari ini.
Kenyataan itu ditandatangani pemimpin empat parti komponen PH iaitu
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara
(Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.
Mengulas lanjut, Majlis Presiden PH turut mengucapkan terima kasih
kepada semua petugas, sukarelawan dan dermawan yang membantu dalam
pelbagai misi menyelamat, membersih dan memulihkan kawasan terjejas di
beberapa negeri sejak 18 Disember lalu.
Katanya, tenaga dan semangat sukarelawan mungkin diperlukan lagi bagi membantu menghadapi gelombang kedua di Pantai Timur.
“Pada masa sama, suara rakyat kedengaran di media sosial amat lantang
mengkritik respons Jemaah Menteri yang sangat lembab atau dilihat
setakat ‘berwayang’ tanpa benar-benar membantu mangsa banjir.
“Ia termasuk ketika banjir di Tenom serta Penampang, Sabah pada Mei dan September lalu,” jelasnya.
Mereka berkata ketika landskap politik semakin berpecah, kekacauan tidak akan hilang dalam masa terdekat.
Kegawatan yang menyelubungi
sebahagian besar perkembangan politik Malaysia tahun ini mungkin akan
berlanjutan ke tahun hadapan, kata penganalisis ekoran perebutan kuasa
dalam Umno selain tokoh-tokoh politik terkemuka bergelut menjalani
perbicaraan kes mahkamah.
Di peringkat kerajaan, boleh dikatakan perubahan terbesar yang
berlaku ialah peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri
pada Ogos berikutan tekanan daripada sekumpulan ahli Parlimen Umno
diketuai presidennya Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib
Razak.
Muhyiddin kemudiannya diganti oleh Ismail Sabri Yaakob yang
memperkenalkan slogan “Keluarga Malaysia” di mana beliau menikmati
tempoh 100 hari pertama pentadbiran yang agak lancar dengan kelulusan
Belanjawan 2022 di bawah kerajaannya di Parlimen serta Rancangan
Malaysia ke-12 walaupun mendapat majoriti tipis sebanyak empat kerusi.
Ismail
juga turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan
pembangkang, meliputi enam aspek utama termasuk hak Sabah dan Sarawak,
pemerkasaan rancangan kerajaan berhubung Covoid-19, dan reformasi
Parimen.
Bagaimanapun, banjir besar yang melanda lapan negeri baru-baru ini,
terutama di Selangor dan Pahang mencetuskan rasa tidak puas hati orang
ramai terhadap kerajaan Ismail dengan pengkritik menuduh beliau lembab
bertindak selain kekurangan persediaan agensi-agensi kerajaan dalam
menghadapi situasi itu.
Namun begitu, penganalisis politik Oh Ei Sun berkata kedudukan Ismail
sebagai perdana menteri tidak begitu bergantung kepada persepsi rakyat
terhadap keupayaan pentadbirannya berbanding perebutan dan pergelutan
kuasa dalam Umno.
“Walaupun puak arus perdana diketuai Zahid dan Najib melihat beliau
hanyalah pemegang jawatan itu secara sementara sebelum mereka kembali ke
tampuk kuasa, beliau juga sedang bergelut untuk membentuk sekutunya
sendiri walaupun secara longgar bagi menentang puak dalam Umno yang
memperkecilkan beliau,” kata Oh kepada MalaysiaNow.
Dengan situasi tersebut, katanya, dapat difahami mengapa Najib akan
terus cuba mengekalkan kedudukannya dalam Umno selepas permohonannya
menggugurkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi
pertuduhan berkaitan SRC International gagal di Mahkamah Rayuan awal
bulan ini.
Pemilihan Umno yang mungkin berlangsung pada November depan seperti
dikatakan Timbalan Presiden Mohamad Hasan, mungkin bakal menyaksikan
Ismail cuba menggunakan sebaik mungkin jawatannya sebagai perdana
menteri untuk mengambil alih jawatan presiden parti dari Zahid, kata Oh.
“Keadaan
ini harus dilihat sama ada permainan politik ini akan meletus dengan
masing-masing berbalah secara terbuka pada tahun hadapan,” tambah Oh
yang merupakan seorang felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa
Singapura.
Sementara itu, katanya, kluster mahkamah akan menggunakan semua helah
yang ada untuk membebaskan diri daripada pertuduhan yang dihadapi.
Najib, yang merupakan antara yang berdepan pertuduhan jenayah, tidak
mempunyai pilihan selain terpaksa membawa kesnya ke Mahkamah Persekutuan
bagi merayu sabitan dan hukuman kes SRC International.
Jika sabitannya dikekalkan, dan seluruh kluster mahkamah yang lain
juga didapati bersalah, mereka tidak layak untuk bertanding pada pilihan
raya umum akan datang.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia menjangkakan tidak akan
ada lagi percubaan daripada pembangkang untuk mendapatkan ahli Parlimen
kerajaan dengan cara melompat parti, mengatakan dua usaha seumpama itu
gagal sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau berkata Ismail masih boleh berdepan nasib yang sama seperti Muhyiddin.
“Sekiranya ada pun, berlaku di kalangan Umno sendiri, kerana Ismail
seolah-olah tidak sehaluan dengan kepimpinan Umno iaitu Zahid dan Najib
kerana perbezaan pandangan bila PRU15 akan diadakan,” katanya.
Sementara
itu di pihak pembangkang pula, dua PRN yang diadakan selepas darurat
pandemik dibatalkan menyaksikan Pakatan Harapan (PH) kalah teruk di
Melaka dan Sarawak.
Di Melaka, Barisan Nasional (BN) membentuk pentadbiran negeri selepas
memenangi 21 dari 28 kerusi DUN manakala di Sarawak, Gabungan Parti
Sarawak (GPS) yang sehaluan dengan kerajaan menikmati kemenangan besar
dengan memperolehi 76 dari 82 kerusi.
Oh berkata PH sebagai blok pembangkang terbesar “seakan mati pucuk” dengan pemeteraian MoU dengan kerajaan.
“Ini dapat dilihat dengan rasa jijik pengundi atau sekurang-kurangnya
sebagai satu penghinaan di Melaka dan Sarawak, ia bagaimanapun
menimbulkan harapan baru dalam kalangan ramai ahli politik dan parti
yang bercita-cita tinggi untuk cuba menggantikan PH atau
sekurang-kurangnya mencuri akar umbi penyokong PH,” katanya.
Walaupun PRU15 mesti diadakan sebelum Julai 2023, Mazlan menjangka ia
tidak akan berlaku tahun depan – satu senario yang sememangnya diingini
kem Zahid.
“Persamaan pandangan dengan PM dan Yang di-Pertuan Agong mesti wujud dalam isu PRU,” katanya.
“Saya fikir kalau dinasihatkan pun, kuasa Agong boleh untuk tidak bersetuju dengan permintaan pembubaran.”
Beliau menambah pemulihan daripada kesan banjir besar baru-baru ini
memerlukan beberapa bulan untuk dilaksanakan sementara situasi Covid-19
mungkin menyebabkan Ismail menangguhkan tarikh pilihan raya.
Apapun, Oh menjangka keadaan politik akan menjadi lebih menarik pada
tahun depan, “disebabkan landskap politik yang berpecah, ia memberi
peluang untuk semua”, katanya.
Mazlan turut bersetuju dengan pandangan itu dan berkata Ismail
dilihat tidak mendapat sokongan penuh daripada menteri Kabinetnya.
Beliau menambah terlalu banyak masalah yang memerlukan penyelesaian
yang berani antara kumpulan dan individu dalam parti politik.
“Nampak menteri-menteri tertentu yang tidak memberi sokongan.
“Adanya perbezaan pandangan dalam Umno sendiri dan pada masa yang
sama ketidakpuasan PH terhadap kerajaan. Ini benih-benih yang
menyebabkan politik tidak stabil pada tahun-tahun berikutnya,” katanya.
“Nampak terlalu banyak tali-tali bersimpul antara kumpulan dan individu dalam parti-parti politik.”
Beliau akan berusaha melakukan yang terbaik selain pelantikan itu sebagai medan baharu buatnya menimba ilmu.
KUCHING: Pelantikan Datuk Juanda Jaya sebagai Menteri Muda Intergriti dan Ombudmen di Jabatan Ketua Menteri dianggap sebagai satu penghormatan dan amanah daripada Ketua Menteri Tan Seri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, beliau akan berusaha melakukan yang terbaik selain pelantikan itu sebagai medan baharu buatnya menimba ilmu.
“Khidmat kepada rakyat dan negeri akan digalas semampu yang boleh. Amanah besar, tanggungjawab pun besar.... Saya akan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Selain itu, Juanda berkata, pelantikan itu juga akan memberi nafas baharu untuk meneruskan visi memajukan Sarawak memandangkan ramai pemimpin baharu dan muda diketengahkan.
“Saya percaya susunan baharu kabinet Abang Johari Tun Openg adalah manifestasi kepada visi 2030 Sarawak maju.
"Saya yakin dan percaya dengan banyak muka baharu dalam kalangan yang berusia 40 ataupun awal 50an akan memberi nafas baru kepada corak pentadbiran Negeri Sarawak dalam membawa negeri ini maju menjelang 2030,”
Pada PRN 12 yang lalu, Juanda berjaya mempertahankan kerusi DUN Jemoreng untuk penggal kedua menewaskan calon Amanah dan Bebas.
MCA dijangka meletakkan lebih ramai calon muda pada Pilihan Raya Umum
ke-15 (PRU-15) selari dengan pelaksanaan Undi 18 yang akan
dilaksanakan.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, partinya
menetapkan calon muda tersebut perlu mempunyai pencapaian tersendiri,
berpendidikan, mempunyai tarikan atau sesuatu yang boleh menawan hati
pendundi.
“Jika calon muda berkenaan tidak memiliki sifat itu, maka parti perlu
percaturan yang sewajarnya. Setakat ini kita belum muktamadkan lagi
(senarai calon muda) dan siapa (yang akan menjadi calon muda tersebut).
“Sampai masa kita akan beritahu. Kita tahu apabila Undi 18
dilaksanakan akan berlaku pertambahan undi yang ramai, secara automatik
kena permudakan usia calon.
“Kita tidak kurang juga orang-orang (calon-calon) muda, selepas ini
secara realistik berbanding dahulu mungkin lebih ramai orang mudalah
(lebih ramai calon muda MCA),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan
Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor secara hibrid di Ibu
Pejabat MCA Johor, Jalan Kebun Teh, Johor Bahru, hari ini.
Katanya, kesan daripada Undi-18 nanti beberapa kawasan contohnya
Parlimen Iskandar Puteri akan menyaksikan pertambahan seramai 300,000
pengundi manakala Parlimen Tebrau seramai 290,000 pengundi.
“Ini merupakan tekanan besar, kawasan sedemikian perlu ada strategi
dan percaturan lebih baik dan kita rasa pendekatan baharu perlu
digunakan untuk persiap calon daripada segi mentaliti mereka.
“MCA mesti letak seberapa ramai calon muda yang berkebolehan,
berwibawa dan yang dikenali masyarakat. Calon tua ada sedikit
‘disadvantage’ sebab orang dah kenal dan tahu kelemahan mereka.
“Kita kena lihat di setiap kawasan bagamaimana ciri-ciri pengundi,
apa kegemaran mereka dan apa yang boleh mendampingi mereka, kita kena
fikir daripada segi percaturan dan taktik kita,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerja-kerja penaziran parti
itu bagi menghadapi PRU15 akan bermula di Johor dan semua jentera parti
berkenaan di seluruh negara juga telah telah diarahkan membuat persiapan
menghadapi PRU yang boleh diadakan bila-bila masa.
“Pada tahun 2022, sudah empat tahun selepas PRU-14 diadakan sejak Mei
2018 dan PRU akan datang mungkin boleh diadakan dalam tempoh maksimum
18 bulan akan datang. Jadi dalam keadaan ini kita perlu bersiap siaga.
“Kita akan mulakan kerja-kerja penaziran di Johor terlebih dahulu,
iaitu kerja-kerja persiapan oleh satu pasukan khas daripada MCA Pusat
untuk melihat di mana kelemahan agar boleh diperbaiki dan diaudit,”
katanya.
MCA katanya, memilih Johor sebagai negeri permulaan kerana negeri
tersebut merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan pihaknya
berhasrat untuk mengembalikan kegemilangan MCA dalam PRU-15.
JOHOR BAHRU – Kerja-kerja penilaian MCA bagi menghadapi Pilihan Raya
Umum ke-15 (PRU15) akan dimulakan di Johor, kata Presidennya, Datuk Seri
Dr. Wee Ka Siong.
Katanya, jentera parti itu di seluruh negara telah diarahkan membuat
persiapan bagi menghadapi PRU-15 yang akan diadakan bila-bila masa.
“Pada tahun 2022, sudah empat tahun selepas PRU-14 diadakan
sejak Mei 2018, dan PRU akan datang mungkin boleh diadakan dalam tempoh
maksimum 18 bulan akan datang. Jadi dalam keadaan ini kita perlu bersiap
siaga.
“Kita akan mulakan kerja-kerja penaziran di Johor terlebih dahulu,
iaitu kerja-kerja persiapan oleh satu pasukan khas daripada MCA pusat
untuk melihat di mana kelemahan agar boleh diperbaiki dan diaudit,”
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan
Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor yang diadakan secara hibrid
di Ibu Pejabat MCA Johor, di sini, hari ini.
Johor dipilih menjadi perintis terhadap penilaian yang dilakukan itu memandangkan ia merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Sementara itu, Ka Siong memberitahu, MCA bersedia meletakkan seramai
mungkin calon baharu dalam menghadapi gelombang generasi muda pada
PRU15.
Bagaimanapun parti itu akan memastikan calon berkaliber termasuk
calon yang boleh menguasai bahasa Melayu dengan baik diletakkan pada
pilihan raya umum itu.
“Kesan daripada Undi-18, beberapa kawasan seperti Parlimen Iskandar
Puteri akan menyaksikan pertambahan seramai 300,000 pengundi, manakala
Parlimen Tebrau seramai 290,000 pengundi.
“Ini merupakan tekanan besar, kawasan sedemikian perlu ada strategi
dan percaturan lebih baik dan kita rasa pendekatan baharu perlu
digunakan untuk persiap calon daripada segi mentaliti mereka,” katanya. –
MalaysiaGazette
Ketua UMNO Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Rundingan yang sedang dirancang PAS adalah sebenarnya mereka
takut kalah kepada UMNO dalam pilihan raya umum (PRU) nanti, kata
seorang pemimpin UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu berkata langkah PAS yang mahu
berunding tidak boleh dipercayai dan UMNO tidak perlu melayan sebarang
usaha untuk bekerjasama dengan parti tersebut walaupun menerusi platform
Muafakat Nasional (MN) sekalipun.
“Tindakan PAS mahu bincang dengan (UMNO) Kelantan kerana mereka dah
mula takut dan tindakan itu hanyalah untuk mempertahankan home ground
(kubu kuat).
“Selama ini pun MN adalah untuk mengelak (PAS) bertembung dengan UMNO
dan mereka bimbang kalah di kubu kuat sendiri,” katanya dipetik laporan
portal Malaysiakini.
Menurut Nur Jazlan lagi, PAS kini sudah ketakutan selepas melihat
hasil keputusan dua pilihan raya negeri iaitu di Melaka dan Sarawak
sehingga menyebabkan mereka kini terpaksa berpatah balik untuk duduk di
meja rundingan dengan UMNO semula.
“Kita tak nak, tapi dia orang yang mulakan benda ini dan memang PAS tak setuju (UMNO tolak kerjasama).
“Sepatutnya PAS bincang di peringkat pusat tapi selepas kekalahan di
Melaka dan Sarawak mereka juga risau kalau kalah di kubu kuat mereka
seperti Kelantan,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, perbincangan tersebut juga lebih kepada kepentingan PAS, dan bukannya UMNO.
“Perbincangan itu hanya bagi mengukuhkan kedudukan PAS untuk pilihan raya akan datang.
“Presiden (UMNO) memang dah buat kenyataan bahawa PAS tak jujur.
Jadi, di peringkat pusat pun saranan untuk kerjasama melalui MN ini pun
dah tak wujud sebab PAS kata, kalau nak teruskan MN dia nak bersama
Bersatu juga, dan UMNO dah buat keputusan untuk tidak akan bersama
Bersatu,” katanya.
Tambah Nur Jazlan berdasarkan kenyataan yang dibuat pemimpin kedua-dua parti itu, bolehlah dianggap MN sebenarnya sudah gagal.
Tambah Nur Jazlan, tindakan PAS yang bertanding dalam pilihan raya
negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini juga jelas memperlihatkan bahawa
parti itu memang tidak boleh dipercayai.
“Masya-Allah, memang tak boleh percaya,” katanya berulang kali.
Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan senarai Kabinet Sarawak hari ini. - Gambar Jabatan Penerangan Sarawak
Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini
mengumumkan barisan Kabinet baharu Sarawak terdiri daripada 10 menteri
dan 26 menteri muda, dengan beliau sendiri memegang portfolio Kewangan
dan Ekonomi Baharu; Sumber Asli dan Pembangunan Bandar; serta Tenaga dan
Kelestarian Alam Sekitar.
Beliau juga melantik tiga Timbalan Ketua Menteri terdiri daripada
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah
Embas; ADUN Bukit Sari Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; dan ADUN Batu
Kawah Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Di bawah Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar dilantik seorang
Menteri Muda, Dr Hazland Abang Hipni yang baharu menganggotai Kabinet,
lapor Utusan Borneo.
Dr Sim turut dilantik sebagai Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan dengan dua Menteri Muda iaitu Dr Penguang Manggil dan
Micheal Tiang (baharu).
Sementara Uggah, turut dilantik sebagai Menteri Kewangan dan Ekonomi
Baharu II dan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan yang
dibantu dua Menteri Muda iaitu Aidel Lariwoo dan Datuk Majang Renggi
(baharu).
Awang Tengah memegang portfolio Menteri Sumber Asli dan Pembangunan
Bandar II dengan Menteri Mudanya Datu Len Talif Salleh serta sebagai
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan dengan Menteri Mudanya,
Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh.
Bagi Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah,
Menterinya Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan dua Menteri Muda, Datuk
Dr Abdul Rahman Ismail dan Martin Ben (baharu).
Menteri Pengangkutan kekal disandang oleh Datuk Seri Lee Kim Shin
dengan dua Menteri muda Datuk Dr Jerip Susil dan Datuk Henry Harry Jinep
(baharu).
Bagi Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Menterinya, Datuk Julaihi
Narawi dan Menteri Mudanya Datuk Liwan Lagang dan Datuk Dr Abdul Rahman
Junaidi.
Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memegang portfolio Menteri
Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan dengan Datuk
Sebastian Ting dan Datuk Snowdan Lawan sebagai Menteri Muda.
Satu lagi kementerian dibawah Abdul Karim ialah Menteri Belia, Sukan
dan Pembangunan Usahawan dengan Datuk Gerald Rentap Jabu dan Dr Ripin
Lamat sebagai Menteri Muda dan kedua-duanya (baharu).
Sementara itu Menteri Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan
Kesejahteraan Komuniti menyaksikan Datuk Seri Fatimah Abdullah sebagai
Menteri dan Menteri Muda, Datuk Rosey Yunus serta Mohamad Razi Sitam
(baharu).
Bagi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat ia
menyaksikan Datuk Roland Sagah Wee Inn sebagai Menteri dan Dr Annuar
Rapa’ee dan Datuk Francis Harden sebagai Menteri Muda.
Abang Johari berkata asas barisan Kabinet baharu yang beliau umumkan
hari ini adalah berdasarkan pasca Covid-19 Strategi Pembangunan 2030,
yang akan membangunkan Sarawak menjadi sebuah negeri berekonomi tinggi.
Beliau berkeyakinan barisan Kabinet baharu itu adalah Kabinet yang
berfungsi, kompeten, telus dan berintegriti serta menumpukan kepada
penyampaian perkhidmatan yang berkesan.
“Pasukan ini juga akan mengukuhkan status Perlembagaan Sarawak
sebagai wilayah rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia, mengikut
pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan dengan
rujukan kepada MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dan lampirannya,”
katanya.
Demi kepentingan penyatuan umat Islam, Majlis Syura Ulama PAS
menyatakan pendirian agar perlunya Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan
Nasional (PN) diperkasakan bagi mengelak sebarang perpecahan.
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata hanya dengan langkah
penyatuan tersebut kuasa politik umat Islam dapat dipertahankan demi
maslahah terbaik buat Islam dan negara.
“Perundingan kerusi antara parti-parti Melayu-Islam perlu
dilaksanakan semaksimanya bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru
dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dan bagi mendapat kemenangan
dengan majoriti besar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Majlis Syura terdahulu mengadakan muzakarah yang berlangsung semalam
bagi membincangkan hala tuju taawun siyasi dan misi PAS bagi PRU-15.
Untuk rekod PAS sebelum ini mewujudkan kerjasama dengan Umno melalui
MN dan menyertai PN yang diterajui Bersatu yang membentuk kerajaan
selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, Umno dalam perhimpunan agung tahunan sebelum ini membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu.
Pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, UMNO
bersendirian menentang PN dan PH sekali gus berjaya menguasai negeri
itu.
Sementara itu, Hashim berkata semangat taawun siyasi dalam MN dan PN
juga hendaklah sentiasa disuburkan oleh pimpinan dan ahli parti-parti
politik Melayu-Islam dengan pertemuan bersemuka dan bermusyawarah secara
berterusan.
“Masing-masing hendaklah sentiasa berlapang dada, saling memaafkan
dan mengelak dari menjadikan media terbuka termasuk media sosial sebagai
medium perantaraan bagi menyelesaikan krisis dan pertikaian,” katanya.
Untuk rekod, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru
ini sekali lagi mengumumkan mereka akan mempertahankan semua kerusi
Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu pada
PRU-14 lalu.
Anak murid Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga
berkata tidak akan berkompromi pembahagian kerusi dengan PN, malah
menyatakan keyakinan akan menyapu bersih semua kerusi yang ditandingi
parti itu.
Zahid juga berkata Kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ yang dipimpin Perdana
Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya berbentuk sementara
sahaja dan akan bertukar apabila UMNO kembali menjadi dominan nanti di
Putrajaya.
PETALING JAYA: Penganalisis menggesa kerajaan segera meminta maaf
kepada rakyat yang tidak berpuas hati dengan prestasinya menangani
bencana banjir baru-baru ini kerana semakin ramai percaya ia tidak ambil
berat nasib orang kebanyakan.
“Ini yang sedang dijaja di media sosial dan ramai yang nampaknya
makin percaya,” kata Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains
Malaysia.
Antara perkara yang mendorong rakyat beranggapan kerajaan tidak
mengambil berat adalah sikap dan kelakuan anggotanya sendiri, meskipun
47 orang maut dan ribuan terjejas teruk.
“Rakyat nak tengok tindakan segera tapi itu tak berlaku dan tak
nampak pun. Yang ada adalah percakaran sesama sendiri, contohnya Umno
dan Bersatu yang sama-sama memerintah.
“Parlimen lagilah. Bila nak bahas isu banjir, dia (kerajaan)
tak nak. Latiff Ahmad yang NADMA itu pun tak ada menunjukkan rasa
bersalah. Kita tak ada pun dengar mana-mana orang nak letak jawatan.”
Beliau berkata, sikap dan kelakuan seperti itu seolah-olah pemerintah “tidak ada perasaan”.
“Ada siapa-siapa berasa bersalah? Sepatutnya kerajaan buat satu
kenyataan maaf secara rasmi atau kalau kerajaan tak nak mengaku
bersalah, Parlimen pun boleh keluarkan kenyataan maaf. Tapi lebih utama
kerajaan sebagai pemegang kuasa eksekutif yang lakukan – bagi
menunjukkan rasa kebertanggungjawaban.”
“Benda seperti ini menawan hati rakyat tapi (itu pun) mereka tak
boleh buat…apa perasan kita sebagai rakyat? Mereka ini nak membela
siapa?” katanya.
Fauzi mengingatkan negara “sudah pun kelam-kabut” walaupun bencana yang melanda tempoh hari tidak seteruk di negara jiran.
“Kerajaan kita sangat tidak cekap,” katanya.
Beliau menarik perhatian kepada kenyataan Menteri Alam Sekitar dan
Air Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini yang dilaporkan berkata, Malaysia
bukan tergolong dalam kategori negara yang terdedah kepada impak
perubahan iklim yang ketara.
“Itu terbukti silap. Tuan Ibrahim boleh sahaja tarik balik kenyataan itu dan minta maaf,” katanya.
Fauzi menambah Tuan Ibrahim perlu berada di barisan depan berkenaan isu alam sekitar.
“Ini patut jadi isu besar kementerian dia, tak kira beliau kena
Covid-19 atau tidak. Kalau pun dia bukan pakar, pembantu dia banyak yang
pakar air. Takkan tak boleh bagi laporan pada dia?”
Berkenaan persepsi rakyat terhadap kerajaan ketika ini, Fauzi
menyarankan supaya Pejabat Perdana Menteri berhubung secara langsung
dengan mangsa bencana.
“Utus surat peribadi bertandatangan Perdana Menteri dengan janji akan
memperbaiki penyampaian khidmat pascabencana kepada semua keluarga
hingga kehidupan mereka pulih. Sertakan nombor untuk mangsa berhubung
terus dengan pegawai yang dipertanggungjawabkan.
“Tidak susah rasanya untuk mendapatkan alamat dan nama ketua keluarga yang terlibat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).”
Wujud perbezaan dalam sistem pembelajaran kerana sekolah vernakular
KUALA LUMPUR–
Meskipun sedikit kecewa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
berhubung kes sekolah vernakular tidak memihak kepada empat badan bukan
kerajaan (NGO), namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk
memperjuangkan perpaduan negara.
Atas dasar
itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Gabungan Pelajar Melayu
Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia
(MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) akan
mengemukakan rayuan dalam tempoh 30 hari susulan keputusan berkenaan.
Pengerusi
PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, dalam perspektif perpaduan
negara, dasar dan polisi kerajaan telah menyebabkan perpecahan kaum
semakin hari semakin besar retaknya – meskipun lebih 60 tahun merdeka.
Dakwanya,
antara punca utama – yang telah dibuat kajian pelbagai pihak – adalah
disebabkan wujudnya perbezaan di dalam sistem pembelajaran terutamanya
kewujudan sekolah vernakular.
“Ini tidak
diambil kira… tetapi inilah sebenarnya yang menjadi agenda utama
sehingga hari ini, perkara tersebut masih lagi begitu besar jurangnya
sehingga kerajaan terpaksa wujudkan menteri perpaduan,” katanya kepada
pemberita di pekarangan mahkamah hari ini.
Selain
itu, beliau hairan dengan tindakan kerajaan yang mengekalkan polisi yang
dilihat memecah-belahkan kaum, namun pada masa sama mahu rakyat bersatu
padu.
“Di mana
logiknya? Ini tidak diambil kira oleh mahkamah. Bagaimanapun kita tak
berputus asa dan kita telah berbincang dengan pihak peguam bahawa kita
akan mengemukakan rayuan dalam masa 30 hari daripada sekarang,” katanya.
Terdahulu,
Mahkamah Tinggi memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular
serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama di
sekolah berkenaan tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas menolak hujah yang dikemukakan keempat-empat plaintif.
Kesemua
badan bukan kerajaan itu memohon untuk mendapatkan perisytiharan bahawa
seksyen 2,17 dan 28 dalam Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan
penggunaan dua bahasa terbabit di sekolah vernakular adalah bercanggah
dengan peruntukan 152(1)(a) Perlembagaan.
Mereka juga memohon perisytiharan kewujudan dan penubuhan sekolah terbabit bertentangan dengan Perlembagaan.
Golongan terkaya didominasi kaum Cina menguasai lebih separuh kekayaan negara
BANGI
– Sistem ekonomi kapitalis yang diguna pakai ternyata tidak mampu
mengurangkan jurang kemiskinan kerana berteraskan kepentingan taikun
perniagaan.
Atas sebab
itu, terdapat jurang kekayaan yang sangat besar antara golongan T20 dan
B40 di negara ini, walaupun Malaysia menjadi negara membangun dengan
pertumbuhan ekonomi sihat melalui purata peningkatan Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) 4 hingga 6 peratus setiap tahun.
Bahkan,
sebanyak satu peratus golongan terkaya yang didominasi kaum Cina
menguasai lebih separuh kekayaan negara termasuk penguasaan pelbagai
jenis ekuiti, kata pemerhati politik, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim
Mohamad.
“Adakah kita
mahu menjadi seperti Amerika Syarikat, negara termaju dan terkaya
tetapi jutaan rakyat berada di lembah kemiskinan sekitar 10 peratus.
“Rata-rata
pakar ekonomi berpandangan kadar kemiskinan boleh dikurangkan dengan
perkembangan ekonomi negara yang diukur melalui KDNK.
“Namun, apa
yang berlaku di negara-negara maju terutama AS memerlukan penilaian dan
analisis mendalam,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Meskipun
tidak menafikan pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan bagi mengurangkan
jurang pendapatan, Muhammad Lukman berkata, tiada sebarang tindakan
konkrit bagi mengubah landskap keadilan ekonomi dan menutup jurang
kekayaan yang sebenarnya jauh lebih penting daripada jurang pendapatan.
“Kalau dunia
ada Yahudi, Malaysia pula ada Cina. Pemimpin politik negara sendiri
tunduk kepada golongan kapitalis ini melebihi agenda untuk membantu
rakyat termiskin yang semakin dihimpit kesengsaraan hidup.
“Apatah lagi
kini negara dilanda banjir besar dalam keadaan pandemik COVID-19 dan
penguncupan ekonomi dalam skala mikro masih belum pulih sepenuhnya,”
katanya.
Justeru,
beliau menyarankan Malaysia supaya keluar daripada kerangka ekonomi
kapitalis dengan membina kekuatan ekonomi serantau dengan Indonesia
serta negara-negara Islam lain seperti Turki dan Arab Saudi.
KOTA
BELUD– Berikutan pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan
pendaftaran secara automtik telah diwartakan, UMNO khususnya Pergerakan
Pemuda perlu terus menyusuri dan mendalami idealisme anak-anak muda yang
pelbagai supaya perjuangan parti terus mekar dan berupaya menempuh apa
jua cabaran serta gelombang yang mendatang.
Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan Norjan
berkata, undi 18 sudah tentu akan mengubah senario politik negara dan
pelbagai langkah perlu disusun oleh parti supaya ia benar-benar
memberikan pilihan terbaik untuk golongan ini
“Kita perlu mendalami idealisme anak muda yang pelbagai, ada antaranya
yang pro kepada kerajaan sebahagiannya pro kepada pembangkang dan ada
yang mengambil pendekatan di haluan tengah.
“Justeru kita perlu memahami minat mereka ini termasuk dalam program
politik yang kita laksanakanya” katanya ketika ditemui selepas mewakili
Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Fadli Juanas merasmikan penutupan
Kejohanan Fustal Tertutup Piala Pengerusi Barisan Nasional Kota Belud di
Padang Fustal kampung Siasai Jalan Tamu di sini, baru-baru ini,
Menurutnya, menerusi program politik yang dilaksanakan
sekurang-kurangnya lima hingga enam program perlu berada di luar ‘kolam’
UMNO bagi membolehkan golongan muda ini dapat bersama dalam
program-program yang dilaksanakan.
“UMNO khususnya Pemuda dan Puteri perlu menarik minat orang muda
dalam setiap program yang dilaksanakan dengan tidak hanya tertumpu
kepada program sukan, riadah atau hiburan tetapi ianya perlu
diperluskan, antaranya masalah peluang pekerjaan,” katanya
Sehubungan dengan itu Azuwan yang juga Naib Presiden Majlis Belia
Malaysia berkata Pemuda UMNO perlu membawa cadangan dasar parti dan
kerajaan untuk merangka skim jaminan pekerjaan, sama ada dalam bidang
pertanian, keusahawanan, dan lain-lain.
“Pemuda UMNO perlu memudahkan segala urusan mereka dalam mencari
pekerjaan, memohon pembiayaan. Kita perlu menjadi pemudahcara dan kita
perlu menjadi ‘point-person’ yang mereka hubungi untuk minta
bantuan-bantuan ini,” tambah Azuwan.
Dalam pada itu beliau turut mencadangkan agar kerajaan membangunkan
industri-industri baharu dengan membantu rakyat yang hari ini rata-rata
terkesan dengan pandemik dan sebagainya.
Azuwan menambah apa yang paling mustahak adalah UMNO/BN perlu
mengetahui pemikiran, cita rasa dan kehendak golongan muda dan parti
juga perlu mendengar pandangan suara kumpulan pengundi tersebut.
“Kita tidak boleh membiarkan seolah-olah kita tidak mengambil apa-apa
langkah dengan mengarahkan mereka melakukan itu dan ini (tetapi tidak
mendengar suara dan kehendak mereka),” katanya lagi. – UMNO Online
KUALA
LUMPUR – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida
Zarik Khan berkata pasca banjir adalah satu tempoh yang agak sukar bagi
mangsa banjir untuk masing-masing meneruskan kelansungan hidup.
Katanya, di atas kasih dan prihatin kepada mangsa banjir, jentera
UMNO sebagaimana Pergerakan Puteri UMNO turun menyampaikan sumbangan
dalam pelbagai bentuk bukan sahaja barang keperluan seperti tilam, dapur
dan sebagainya tetapi juga turut serta membantu membersihkan kediaman
mereka yang terlibat.
“Semoga sumbangan ini dapatlah mengurangkan beban yang ditanggung
oleh mangsa banjir lebih-lebih lagi pada musim pandemik hari ini.”
Dalam masa yang sama beliau mengucapkan tahniah dan menghargai
sumbangan jentera Puteri dengan ketua-ketua Puteri Bahagian komited
turun padang.
“Tahniah kepada Ketua Puteri UMNO Subang, Hanisha Izaireen Ahmad
Halil di atas inisiatif yang sentiasa membantu mangsa tidak kira siapa
dan di mana saja berada. Teruslah berdoa supaya banjir seperti tempoh
hari tidak berulang kembali,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook,
hari ini.
Banjir baru-baru ini telah menyebabkan beberapa buah Negeri terkesan
dengan ribuan penduduk berdepan dengan bencana berkenaan. – UMNO Online
KANGAR: Pewartaan undi 18 tahun yang dikuatkuasa bermula 15 Disember lepas merupakan peluang yang perlu dimanfaatkan anak-anak muda.
Pemerhati
politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar
berkata, anak muda kini sudah boleh menilai parti mana layak mentadbir
negara selepas melihat sendiri situasi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU)
yang menyaksikan kerajaan silih berganti.
Katanya, sebelum ini pengundi muda cenderung memilih PH, namun situasi itu sudah pun berubah sekarang.
“Undi mereka tidak lagi memberi kelebihan kepada mana-mana parti
politik termasuk Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika dihubungi di
sini.
Seramai 5.8 juta pengundi 18 tahun dan ke atas akan didaftar secara
automatik, selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperaku dan mewarta
daftar pemilih terbabit.
Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk mengundi pada PRU ke-15.
Dr Rusdi juga berkata, jentera pilihan raya mana-mana parti perlu
memainkan peranan bagi menarik golongan muda kerana kebanyakan mereka
mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi.
Pengarah Ameerah Dewan Muslimat PAS Perlis, Puteri Fatin Nasyuhada
Megat Mohamad Halim berkata penglibatan anak muda sangat penting dalam
menentukan kepemimpinan negara.
“Mereka perlu mengambil tahu dan memberi komitmen secara sukarela untuk melibatkan diri dalam dunia politik.
“Golongan itu juga perlu menambah ilmu tentang pendidikan politik
supaya mempunyai pendirian sendiri tanpa mudah dipengaruhi mana-mana
pihak,” katanya.
Menurutnya juga penyertaan aktif dalam politik menjadikan anak-anak
muda lebih matang untuk menapis maklumat dan berita palsu yang
disebarkan.
Malah kata beliau anak-anak muda perlu bijak memilih pemimpin supaya
negara ditadbir pemimpin yang telus, amanah dan bertanggungjawab.
Seorang pendidik Wan Nurul Wahidah Wan Mustafa Fikri, 33 berkata
sistem pendidikan negara perlu menerapkan nilai kesedaran politik sejak
di bangku sekolah lagi.
“Contohnya boleh dimulakan dalam subjek teras seperti Sejarah dan
Pendidikan Islam bagi pelajar beragama Islam, manakala Pendidikan Moral
bagi pelajar beragama lain.
“Jika sistem pendidikan tidak memainkan peranan memberi pendedahan
ilmu perihal politik dan sejarah negara generasi muda tidak dapat
membeza antara baik dan buruk,” ujarnya.
Di samping itu, kata Wahidah industri hiburan dan penyiaran juga
perlu diselitkan dengan ilmu-ilmu berkaitan politik dan kenegaraan. – HARAKAHDAILY
Shafie Apdal (gambar) pada bulan ini mengumumkan usaha Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung. - Ihsan Parti Warisan
KUALA LUMPUR: Bukan sahaja usaha parti untuk melebarkan sayap ke Semenanjung, parti tempatan yang sebelum ini diasaskan untuk orang Sabah didakwa berantakan.
Setakat artikel ini ditulis, lima daripada empat pemimpin kanan (wingman) Presiden Parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal angkat kaki meninggalkan beliau.
Sejak awal tahun ini pemimpin Warisan telah mengambil keputusan meninggalkan parti itu.
Pertama, ADUN Sebatik, Hassan Pangeran Amir pada Februari 2021. Diikuti pemimpin kuat masyarakat Kadayan yang juga ADUN Sindumin, Datuk Yusof Yacob dan ADUN Segama, Datuk Mohamaddin ketapi pada bulan Oktober 2021.
Hinggalah Peter yang dilihat orang harapan Shafie dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nautim meninggalkan beliau dan parti berlogokan Kapal Layar itu.
Sejak dari zaman UMNO lagi, semua pemerhati politik dan pengamal media menyedari akan hubungan Shafie-Peter cukup kuat terutama bagi mendapat sokongan masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) di pedalaman Sabah terutama di Tenom.
Kuat pengaruh Peter Anthony di kawasan itu dan dalam kalangan masyarakat KDM di sana.
Terkejut juga penulis apabila Peter yang kini menghadapi pertuduhan memalsukan surat pejabat
Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 meninggal Shafie dan Warisan yang memang sebati dengan beliau.
Tetapi itu adalah asam garam dalam politik. Kawan boleh jadi musuh; musuh boleh jadi kawan.
Dalam fasa melalui lima pemimpin, Peter dilihat lebih berterus-terang dengan tindakannya. Warisan dan Mohd Shafie sudah hilang arah kerana melebarkan sayap ke Semenanjung. Ya ke Semenanjung.
Terang lagi bersuluh, apabila usaha Warisan yang sebelum ini 'kononnya' mahu mengangkat politik tempatan dan rakyat Sabah seperti tersasar.
Bagaimanapun, pernah penulis menemubual Shafie pertengahan tahun ini, mengenai usaha melebarkan sayap ke Semenanjung.
"Assim, di Semenanjung juga ada orang Sabah. Mereka boleh memilih Parti Warisan walaupun di mana mereka berada," ujar ringkas Shafie.
Melihat kepada perkara ini, kepimpinan Warisan dan Shafie perlu bijak menyusun atur strategi - dengar suara akar umbi atau kaji semula keputusan mahu melebarkan sayar ke Semenanjung serta memperkukuhkan kepimpinan sebagai parti tempatan.
"Kita melihat dari awalnya, ideologi utama (penubuhan) parti Warisan ini adalah untuk orang Sabah tetapi apabila tindakan untuk melebarkan sayap parti ke Semenanjung, ada dalam kalangan akar umbi menyifatkan visi penubuhannya sudah tersasar.
"Malah ada juga perkongsian dengan saya dalam kalangan pemimpin Warisan sendiri yang menyuarakan bahawa mereka menginginkan pemimpin yang sentiasa mendengar keluhan disuarakan pemimpin dan juga di peringkat akar umbi," kata Penganalisis Politik UMS, Romzi Ationg.
Bukan terhenti di situ, Peter juga dijangka menubuhkan parti tempatan baharu dan memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor.
Dengan itu empat daripada lima pemimpin Warisan bertindak menyokong Hajiji manakala ADUN Sindumin Datuk Yusof Yacob kekal ADUN Bebas 'mesra GRS'.
Beliau
berkata semasa menerajui pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebelum ini,
PH dilihat tidak berupaya memenuhi jangkaan orang ramai yang mengundi
mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.
KUCHING: Sentimen daripada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang menerajui Kerajaan Persekutuan selama 22 bulan memberi kesan kepada prestasi DAP pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak baru-baru ini, kata Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.
Beliau berkata semasa menerajui pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebelum
ini, PH dilihat tidak berupaya memenuhi jangkaan orang ramai yang
mengundi mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.
Menurutnya walaupun PH telah membawa pelbagai pembaharuan dalam sistem kerajaan di samping memperkenalkan langkah-langkah tadbir urus yang baik, pakatan itu tetap tidak dapat memenuhi segala kehendak yang diharapkan orang ramai daripada mereka.
"Kita juga faham bahawa peratus keluar mengundi yang rendah dan pecah undi pembangkang pada PRN12 adalah disebabkan sentimen umum dalam kalangan pengundi di kebanyakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak.
"Bagi mereka yang mengundi DAP pada PRU 2018 namun memutuskan untuk tidak lagi memberi sokongan pada PRN12 kerana melihat kami tidak dapat memenuhi harapan anda, kami ingin memohon maaf terhadap segala kekurangan," katanya pada persidangan media hari ini.
Chong berkata DAP akan terus memainkan peranannya sebagai pembangkang yang bertanggungjawab di Sarawak, di samping menyokong kebenaran dan menentang apa sahaja yang dilihat 'tidak betul' dalam kerajaan semasa.
PRN12 pada 18 Dis lepas menyaksikan DAP hanya mampu memenangi dua kerusi DUN, yakni DUN Padungan yang dimenangi Chong, dan DUN Pending yang dimenangi oleh Violet Yong.-- BERNAMA