Oleh SYAHIRAH SALLEH
TEMERLOH: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) Senator Nuridah Mohd Salleh, akui tenaga Muslimat masih kurang berbanding tenaga yang disumbangkan Jabatan Amal Malaysia (JAM).
Menurutnya, operasi pembersihan fasa awal lebih tertumpu kepada kerja pembersihan, namun operasi memcuci sukar dilakukan berikutan ketiadaan air di kebanyakan lokasi banjir.
“Setengah tempat, tiada air. Kita ke Hulu Langat pada Isnin, walaupun ada tenaga Muslimat kita, tetapi air tiada sehinggakan untuk ambil wudhu’ pun kita pakai air mineral.
“Sekarang, Muslimat memang tumpu pada kerja-kerja di dapur dan bantu memasak. Sebab mangsa banjir memang perlukan makanan memandangkan dapur mereka musnah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily, di Pusat Operasi Khidmat Malaysia Temerloh, di Kompleks Tarbiah Darul Ansar, di Lanchang, semalam.
Kata Nuridah, berdasarkan laporan dan keperluan Bilik Operasi, tenaga Muslimat sangat diperlukan untuk kerja pembersihan barangan dapur mangsa banjir.
Katanya lagi, beliau akan melihat sekiranya terdapat keperluan lain yang diperlukan mangsa banjir sepanjang lawatannya ke lokasi bencana sejak Isnin.
“Kalau ikut laporan dari Lanchang, kalau boleh mereka mahukan tenaga Muslimat untuk datang membasuh pinggang mangkuk mangsa banjir yang penuh dengan lumpur.
“Setakat ini kita memang ada menerima sukarelawan dari Perak dan beberapa negeri,” katanya.
Semalam, DMPM menghantar 50 ekor ayam ke Dapur Rakyat Khidmat Malaysia Temerloh.
Menurut Nuridah, setakat ini kutipan dan sumbangan yang diterima Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS, berjumlah lebih kurang RM40,000.
Katanya, tabung sumbangan masih dibuka dan kutipan akan diteruskan sehingga misi membantu mangsa banjir selesai. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan