HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Disember 2021

PAS sebenarnya sudah takut kalah dengan UMNO, kata Nur Jazlan


Rundingan yang sedang dirancang PAS adalah sebenarnya mereka takut kalah kepada UMNO dalam pilihan raya umum (PRU) nanti, kata seorang pemimpin UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu berkata langkah PAS yang mahu berunding tidak boleh dipercayai dan UMNO tidak perlu melayan sebarang usaha untuk bekerjasama dengan parti tersebut walaupun menerusi platform Muafakat Nasional (MN) sekalipun.

“Tindakan PAS mahu bincang dengan (UMNO) Kelantan kerana mereka dah mula takut dan tindakan itu hanyalah untuk mempertahankan home ground (kubu kuat).

“Selama ini pun MN adalah untuk mengelak (PAS) bertembung dengan UMNO dan mereka bimbang kalah di kubu kuat sendiri,” katanya dipetik laporan portal Malaysiakini.

Menurut Nur Jazlan lagi, PAS kini sudah ketakutan selepas melihat hasil keputusan dua pilihan raya negeri iaitu di Melaka dan Sarawak sehingga menyebabkan mereka kini terpaksa berpatah balik untuk duduk di meja rundingan dengan UMNO semula.

“Kita tak nak, tapi dia orang yang mulakan benda ini dan memang PAS tak setuju (UMNO tolak kerjasama).

“Sepatutnya PAS bincang di peringkat pusat tapi selepas kekalahan di Melaka dan Sarawak mereka juga risau kalau kalah di kubu kuat mereka seperti Kelantan,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, perbincangan tersebut juga lebih kepada kepentingan PAS, dan bukannya UMNO.

“Perbincangan itu hanya bagi mengukuhkan kedudukan PAS untuk pilihan raya akan datang.

“Presiden (UMNO) memang dah buat kenyataan bahawa PAS tak jujur. Jadi, di peringkat pusat pun saranan untuk kerjasama melalui MN ini pun dah tak wujud sebab PAS kata, kalau nak teruskan MN dia nak bersama Bersatu juga, dan UMNO dah buat keputusan untuk tidak akan bersama Bersatu,” katanya.

Tambah Nur Jazlan berdasarkan kenyataan yang dibuat pemimpin kedua-dua parti itu, bolehlah dianggap MN sebenarnya sudah gagal.

Tambah Nur Jazlan, tindakan PAS yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini juga jelas memperlihatkan bahawa parti itu memang tidak boleh dipercayai.

“Masya-Allah, memang tak boleh percaya,” katanya berulang kali.

Tiada ulasan: