HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Disember 2021

PRN Melaka: Tak puas hati kalah, calon BN fail kes ke mahkamah


Tidak puas hati kerana kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November lalu, seorang calon Barisan Nasional (BN) daripada UMNO, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mendakwa wujud elemen rasuah membabitkan calon Perikatan Nasional (PN).

Mohamad Ali yang kalah kepada calon PN, Dr Mohd Aleef Yusof di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dilapor memfailkan petisyen pilihan raya bagi membatalkan kemenangan Dr Mohd Aleef, atas dakwaan wujud elemen rasuah.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu kalah dengan majoriti 530 undi. Dalam saingan empat penjuru, beliau memperoleh 6,259 undi, manakala Dr Mohd Aleef mendapat 6,789 undi, manakalan calon Pakatan Harapan, Hasmorni Tamby (2,035) dan calon Bebas, Mohd Zahar Hashim (471).

Dalam petisyen berkenaan Mohamad Ali yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara memohon keputusan pilihan raya di kawasan itu dibatalkan selain meminta keputusan bersesuaian dibuat, termasuk kos, lapor FMT.

Mohamad Ali dilapor menamakan Dr Mohd Aleef, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Sungai Udang dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebagai responden.

Pengurusan kes akan diadakan di Melaka, pada 30 Disember, dengan timbalan pendaftar mahkamah akan mengeluarkan arahan kepada pihak berkaitan, lapor FMT yang mendakwa melihat dokumen petisyen berkenaan.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya luar dari Melaka akan dilantik oleh Hakim Besar Malaya, bagi mendengar pertikaian berkenaan.

Seksyen 35A Akta Kesalahan Pilihan Raya memperuntukan pertikaian berhubung semua pilihan raya mesti dilengkapkan dalam tempoh enam bulan selepas petisyen difailkan.

Memetik laporan FMT, dalam petisyennya, Mohamad Ali berkata, Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz, bekas ahli UMNO dan Ahli Parlimen Tanah Merah, menukar sokongan terhadap Bersatu, yang kini menjadi parti komponen PN.

Katanya, Dr Mohd Aleef sebelum ini adalah Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Hang Tuah, sebelum dinamakan sebagai calon Bersatu, bertanding di kerusi Sungai Udang.

“Aleef sebelum ini tidak pernah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan bergantung kepada Ikmal untuk diperkenalkan kepada pengundi di kawasan terbabit,” katanya.

Mohamad Ali mendakwa, dalam pengetahuannya Dr Mohd Aleef melakukan amalan rasuah dalam pilihan raya berkenaan atau dengan persetujuannya atau dilakukan oleh mana-mana ejennya, yang tertakluk mengikut kesalahan Akta Kesalahan Pilihan Raya Seksyen 32(c).

Mahkamah berkuasa mengisytiharkan kerusi berkenaan kosong sekiranya calon itu dikenal pasti terbabit dalam amalan sedemikian.

Mohamad Ali juga mendakwa Aleef dan/atau Ikmal, mengemukakan hadiah berbentuk wang tunai atau dalam apa jua bentuk bertujuan menentukan keputusan pilihan raya di kawasan terbabit.

Dalam petisyen itu, beliau berkata, sejumlah besar undi tentera mengundi memilih Dr Mohd Aleef berbanding dirinya susulan dakwaan rasuah, di mana beliau akan mengemukakan buktinya di mahkamah.

Terdahulu, dua hari setelah PRN itu, Mohamad Ali yang mesra dengan panggilan ‘Cikgu Ali’ menyalahkan ahli partinya sendiri di atas kekalahan beliau dengan mendakwa telah disabotaj.

Mohamad Ali turut menyindir ahli UMNO yang sebelum ini hanya berdiam diri dan tidak keluar membantu, malah ada yang sanggup meninggalkan parti itu. Berita berkaitan 

Tiada ulasan: