HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Disember 2021

Kerjasama Umno, PAS makin serasi – KJ

MALAYSIA POST

Kerjasama Umno, PAS makin serasi – KJ

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengakui kerjasama Umno dan PAS semakin serasi dan meminta kepimpinan Umno tidak membuat keputusan terburu-buru dalam menentukan hala tuju hubungan kedua-dua parti.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau itu mengakui beliau antara individu yang skeptikal dan mengkritik penubuhan Muafakat Nasional (MN) sebelum ini sehingga dikecam beberapa pihak.

“Tetapi sekarang ini ramai pula yang nak (Umno) keluar MN. Saya rasa kita (Umno dan PAS) sudah serasi, saya pun sudah serasi dengan PAS dalam jemaah menteri.

“Kita ada kerjasama yang baik jadi biarlah kita fikir dengan baik perkara ini dan jangan buat apa-apa keputusan dengan terburu-buru,” katanya pada Wawancara Khas ‘Dilema Covid dan Politik’ disiarkan Facebook Umno Online malam tadi, lapor Berita Harian.

Kelmarin Muzakarah Majlis Syura ‘Ulamak PAS setuju untuk menegaskan kepentingan ‘Memperkasakan MN dan Perikatan Nasional (PN)’ dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.

Marsyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata kata sepakat itu diputuskan pada sidang berkenaan bertajuk ‘Hala Tuju Ta’awun Siyaasi dan Misi Pilihan Raya PAS Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15’.

Katanya, perundingan kerusi antara parti Melayu Islam perlu dilaksanakan semaksimanya bagi mengelak pertembungan tiga penjuru dalam PRU15 dan bagi mendapat kemenangan majoriti besar.

Sementara itu, Khairy berkata, Umno mempunyai dasar parti berhubung kerjasama dengan Bersatu yang diputuskan melalui Perhimpunan Agung Umno lalu.

“Keputusan Perhimpunan Agung adalah paling tinggi, maka kita patuh. Itu muktamad di situ, noktah,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: