HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Disember 2021

PN, PH tak kacau, mengapa UMNO mahu PRN lagi?

Oleh RAHIMI MOHAMAD

PRU

DESAS-desus akan ada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang seterusnya di Johor selepas Sabah, Melaka dan Sarawak bukan lagi cakap-cakap kosong sebaliknya perkara itu hampir pasti berlaku tidak lama lagi jika tiada apa-apa halangan.

Beberapa sumber memaklumkan, mereka sudah mendapat signal daripada pihak atasan untuk bersiap sedia menghadapi PRN pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Tidak menghairankan apabila dikatakan keinginan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN bukannya datang dari pihak lawan tetapi suara UMNO sendiri yang mahu lebih dominan walaupun kini mereka mengetuai kerajaan Johor.

Memang jika diikutkan sebelum pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang meninggal dunia pada 21 Disember lalu pun, kedudukan kerajaan negeri hasil kesepakatan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan MIC boleh dikatakan sudah getir.

Tetapi Bersatu dan Pas walaupun menyatakan sokongan kepada Datuk Hasni Mohammad dari bawah payung Perikatan Nasional (PN) tidak pernah sama sekali menggugat kedudukan ADUN Benut itu untuk terus mentadbir Johor.

Cuma sekali dua mereka mengingatkan pemimpin UMNO lain bahawa ADUN dari Bersatu juga boleh menarik sokongan bila-bila masa. Itu pun ketika Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang diganggu kedudukannya selaku Perdana Menteri.

Pada masa lain, tiada seorang pun daripada 12 wakil rakyat Bersatu termasuk Allahyarham Osman benar-benar membuat langkah yang mengubah kedudukan walaupun mereka boleh sahaja buat dengan sekelip mata. Tetapi mereka tetap berpaksi kepada prinsip rakyat harus diutamakan.

Jadi mengapa tetap mahu juga PRN walaupun dalam landskap politik semasa di Johor, beberapa pihak mengakui agak sukar untuk Hasni bekerja berdasarkan hanya satu sahaja kelebihan kerusi iaitu 28-27 kerana susah untuk beliau membuat sesuatu keputusan disebabkan partinya bukan dominan.

Namun perkara itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk UMNO mahu mengadakan PRN dalam masa terdekat kerana mereka seharusnya memikirkan keadaan semasa negara dan Johor sendiri yang masih dilingkari isu pandemik Covid-19.

Apatah lagi Johor antara negeri tidak terlepas dilanda banjir setiap tahun diramal akan berdepan bencana itu sedikit masa lagi. Wajarkah ketika rakyat cuba bangkit membina semula kehidupan mereka perlu berdepan pula dengan ragam politik yang memualkan ramai pihak ketika ini.

Bukan sahaja PN, bahkan Pakatan Harapan (PH) yang kini memiliki 27 kerusi DUN di Johor juga tidak mahu PRN diadakan dalam waktu yang tidak sesuai kerana mereka juga sudah berikrar untuk bersama-sama mendahului rakyat yang ditimpa musibah.

Ketika ini pun kerajaan Johor berjalan dengan baik, malah buat pertama kali juga di bawah pentadbiran Hasni bersetuju memberikan peruntukan tahunan sama rata yang berjumlah RM200,000 kepada semua ADUN termasuk pembangkang agar sama-sama memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Dalam Belanjawan Johor 2022 itu juga, sudah lulus peruntukan tambahan RM50,000 lagi kepada mereka bagi tujuan bantuan pembiayaan perayaan-perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan lain-lain.

Sebelum itu lagi, Hasni sudah beberapa kali memberikan peruntukan kepada semua ADUN Johor yang tahun ini sahaja tidak kurang RM200,000 disalurkan untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing yang terjejas Covid-19.

Benarkah dakwaan bahawa pihak yang mencadangkan PRN diadakan di Johor bukan bertanding pun di negeri itu tetapi mempunyai perancangan dan agenda sendiri yang lebih besar dan menguntungkan laba politiknya.

Malah mereka dikatakan sudah mendapat restu untuk melakukan PRN sekiranya benar boleh menang dua pertiga daripada 56 kerusi DUN di Johor seperti dicapai di Melaka yang ketika itu peratusan keluar mengundi rendah dan belum ada undi daripada golongan 18 hingga 20 tahun.

Bukan tidak boleh mengadakan PRN kerana proses demokrasi itu memang dijamin dalam Perlembagaan, tapi yang jadi isu sekarang adalah masanya yang tidak sesuai apatah lagi dengan penemuan varian baharu Covid-19, Omicron selain tidak lama pun lagi sebelum penggal tamat secara automatik.

Jadi perlukah buat PRN dalam masa terdekat. Esok sudah 1 Januari 2022, tidak boleh kah UMNO tunggu sedikit masa lagi atau bila tiba waktu yang betul-betul sesuai untuk buat PRN jika betul mahu dapatkan semula mandat rakyat yang dicanang-canang atau sebenarnya mahu lebih berkuasa seperti dulu-dulu.

Tiada ulasan: