HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Disember 2021

Parlimen Tumpat hantar jentera berat ke Selangor

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

TUMPAT: Selepas misi pertama bantuan banjir Kelantan ke Pahang minggu lalu, kini Pusat Khidmat Parlimen Tumpat pula melancarkan misi bantuan banjir kedua ke Puchong, Selangor.

Ahli Parlimennya, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, sebanyak tiga jentolak dan tujuh lori mengangkut sampah dihantar bermula hari ini untuk melaksanakan misi selama tiga hari.

Selain itu pihaknya turut dibantu oleh 150 petugas Pusat Khidmat Parlimen Tumpat, sukarelawan PAS Tumpat dan individu menyertai operasi pembersihan kawasan terlibat.

“Program kita kali ini bukan yang biasa-biasa hantar petugas cuci. Kali ini kita hantar jentera berat bersama lori pengangkut sampah.

“Ini merupakan permintaan daripada rakyat Selangor supaya kita hantar jentera berat, mereka memerlukan ketika ini, difahamkan sampah sudah berbukit-bukit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran Misi Bantuan Banjir ke Selangor 2.0 di perkarangan tempat letak kenderaan Masjid Ismaili Pasir Pekan hari ini.

Turut hadir Adun Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah; Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohd Kamal Mohamad dan Pengarah Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Ilvira Mohd Dasuki.

Che Abdullah yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang berkata, pihaknya memperuntukkan kira-kira RM50,000 bagi pembiayaan misi tersebut.

“Pada peringkat awal perancangan kita mahu sewa jentera berat untuk digunakan dalam misi tersebut.

“Usaha itu mendapat sambutan apabila ada pihak tampil menyampaikan sumbangan termasuk menyediakan jentera berat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: