MALAYSIA POST
BANJIR yang melanda lapan negeri baru-baru ini telah mengundang kemarahan rakyat terhadap prestasi kerajaan khususnya beberapa menteri dan agensi kerajaan, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Katanya, biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bingkas turun padang merencana pelbagai bentuk bantuan, ia tidak dapat meredakan kemarahan rakyat terhadap prestasi beberapa menteri dan agensi kerajaan yang lembap bertindak.
“Perdana Menteri sedari awal nampaknya bersendirian dalam pengurusan krisis ini. Walaupun beliau segera turun ke lapangan dan gigih mengumumkan pelbagai intervensi kerajaan, kemarahan rakyat terhadap prestasi anggota Kabinet lain amat sukar dibendung.
“Mereka tidak sedikit pun memaparkan kebingkasan setimpal 90 peratus markah pencapaian prestasi mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berkata, rakyat nampak siapa yang buat kerja dan gigih menjaga negara ketika dilanda musibah dan kerajaan mesti mengambil pengajaran bahawa kelemahan mengurus krisis tidak akan mudah dilupakan oleh rakyat.
“Wakil kerajaan yang berucap di pentas antarabangsa bahawa perubahan iklim tidak mempunyai impak besar terhadap Malaysia mesti belajar menggunakan dataraya sebelum membuat kenyataan sepenting itu.
“Wakil kerajaan yang keliru tentang fungsi NADMA dan MKN serta bagaimana harus ia dikelolakan, wajar melakukan perkara paling terhormat dan mengundur diri.
“Wakil kerajaan yang berbaju Melayu segak dengan segala keramaian demi sebuah pelancaran gerakan kesukarelawanan, telah menjerumuskan kerajaan kepada kemuncak kemarahan rakyat.
“Dan paling malang ialah ketidak kelihatan ramai wakil kanan dan bukan kanan dalam Kabinet semasa krisis amatlah dikesali. Rupanya ramai yang telah pergi bercuti dalam keadaan negara berantakan,” katanya.
Justeru, Mohamed Khaled menegaskan, tiba masanya Ismail Sabri merombak kembali barisan Kabinet yang telah menerima isyarat memualkan daripada rakyat ketika ini.
Menurutnya, perkembangan mutakhir menunjukkan kedudukan semasa kerajaan adalah rumusan pentadbiran yang tidak sesuai lagi untuk Malaysia.
“Mewarisi Kabinet yang lemah dari kerajaan Perikatan Nasional yang gagal adalah masalah yang Malaysia perlukan penyelesaian.
“Malaysia akan terus berhadapan dengan pelbagai lagi krisis alam sekitar dan ekonomi yang tidak terjangka. Negara memerlukan anggota Kerajaan yang berprestasi dan kompeten.
“Perdana Menteri mempunyai peluang untuk melakukan reset ini dan beliau tahu bagaimana untuk melakukannya. Rakyat pula telah menghantar isyarat yang jelas,” katanya. -Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan