HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Disember 2021

Bantuan Bencana BN Diteruskan, Shamsul Doakan Terbaik Kepada Petugas Agensi Keselamatan

UMNO ONLINE

 

KUALA LUMPUR– Penyelaras Bantuan Bencana Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Annuar Nasarah hari ini berbesar hati menyampaikan bantuan keperluan asas kepada UMNO Bahagian Klang untuk disampaikan kepada mangsa-mangsa banjir.

Beliau memberikan sumbangan tersebut inisiatif daripada misi Bantuan Bencana Barisan Nasional BN yang ditubuhkan untuk memberikan fokus membantu dengan segera mangsa-mangsa banjir yang menghadapi kesulitan.

“Awal pagi hari ini saya menyampaikan Bantuan Bencana BN dan BNcomms kepada UMNO Bahagian Klang untuk diedarkan kepada yang terkesan akibat bencana banjir di kawasan ini.

“Kawasan Parlimen Klang antara tempat yang menerima kesan bencana banjir di Selangor. Penyampaian dilakukan di Kampung Idaman,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut meluahkan penghargaan kepada petugas agensi keselamatan yang bertungkus lumus membantu mangsa sejak banjir melanda.

Shamsul juga memohon untuk dipermudahkan urusan mereka yang membantu termasuk rakyat yang juga memberikan sumbangan tanpa henti bagi meringankan mereka yang berhadapan dengan ujian ini.

“Ya Allah. Semoga mereka diberikan kesihatan yang baik dan dibalas dengan kebaikan. Pengorbanan mereka sangat besar

 .

“Saya sendiri tidak mampu lakukannya. Hanya yang cekal, kuat dan bersemangat mampu begini.

“Kepada semua yang menyumbang bakti membantu. Biarpun hanya dengan berdoa untuk kebaikan mangsa yang terlibat. Saya ucapkan terima kasih,” ujar beliau.

Terdahulu, Shamsul memaklumkan misi Bantuan Bencana BN ini telah mula diedarkan pada Ahad lalu dan diberikan melalui UMNO/BN Parlimen atau bahagian untuk disampaikan kepada mangsa yang terlibat.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Kadir pada minggu lalu mengarahkan untuk semua Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Barisan Nasional Negeri-Negeri membuka Bilik Gerakan bagi membantu dengan segera mangsa-mangsa banjir.

Maklumnya dalam kenyataan yang sama, bagi tujuan penyelarasan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga bersetuju untuk melantik Datuk Seri Dr Shamsul Annuar Nasarah dilantik sebagai Penyelaras Bantuan Bencana. – UMNO Online

Tiada ulasan: