HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Disember 2021

Anwar bidas UMNO kemaruk nak PRN ketika rakyat berdepan bencana


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas UMNO yang terlalu kemaruk untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tatkala rakyat sedang berdepan bencana banjir yang menjejaskan harta benda dan kehilangan tempat berteduh.

Anwar membidas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang dilihat beria-ria mahu PRN diadakan di Johor pula selepas PRN Melaka dan Sarawak berakhir baru-baru ini menyaksikan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) tersungkur teruk.

“Menjadi tanggungjawab bersama, kerajaan dan pembangkang dan setiap orang untuk meringankan beban yang ditanggung rakyat.

“Tidak timbul soal menang atau kalah (dalam pilihan raya) kerana ia adalah terserah kepada keputusan rakyat, namun semua pihak perlu bersama ketika ini untuk membela nasib rakyat,” katanya dipetik laporan BH.

Terdahulu, Shamsul Anuar dilaporkan berkata, pendirian PH tidak bersetuju untuk PRN Johor diadakan adalah kerana bimbang sekali lagi kalah selepas dua kekalahan dalam PRN sebelum ini.

Presiden PKR itu berkata, keputusan diambil PH adalah mengambil kira kepentingan rakyat yang baharu ditimpa bencana banjir dan isu Covid-19 yang belum selesai.

“Kita hadapi banjir, Covid-19 yang belum selesai, hendak beri malapetaka kepada rakyat sebab apa?

“(Jadi) minta dipertimbangkan oleh Tuanku Sultan (Johor), kerajaan negeri untuk memikirkan maslahat, kepentingan, kehidupan, kesihatan dan keselamatan rakyat. Sepatutnya guna kekuatan yang ada sekarang untuk bela nasib rakyat, ” katanya lagi.

Baru-baru ini, PH Johor mengeluarkan kenyataan menolak pelaksanaan PRN pada waktu ini kerana ia dilihat tidak sensitif memandangkan rakyat sedang mengalami krisis kesihatan Covid-19 dan ekonomi domestik.

Pengerusi Parti Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dalam kenyataan bersama berkata, PH Johor sebulat suara memberi komitmen sepenuhnya dalam membela nasib rakyat, berbanding hal politik dan soal perebutan kuasa.

Mereka menegaskan bahawa segala usaha, tenaga, komitmen dan dana harus disalur untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan, walaupun kedudukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini berada pada angka 28-27 selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Tiada ulasan: