HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Disember 2021

Beri penjelasan di Parlimen, tubuh RCI bencana banjir – PH

Hujan lebat pada 17 dan 18 Disember lalu menjadi punca Taman Seri Muda, Shah Alam dan sebahagian negeri Selangor dilanda banjir buruk. GAMBAR hiasan: Abd Razak Aid

PAKATAN Harapan (PH) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Jemaah Menteri memberi penjelasan penuh di Parlimen berhubung bencana banjir yang melanda negara.

Pada masa sama, Majlis Presiden PH turut berpandangan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) disebabkan kegagalan kerajaan menguruskan bencana banjir.

Menurut Majlis Presiden PH, kesan banjir besar dari segi kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa amat ketara serta mengguris hati.

Malah, katanya, fenomena itu telah membuka mata kepada realiti bahawa perubahan iklim dan aktiviti manusia khususnya pembalakan yang berleluasa serta pembangunan tidak mampan akhirnya memberi kesan negatif kepada rakyat.

“Majlis Presiden PH berpendirian bahawa Perdana Menteri dan Jemaah Menteri wajib memberi penjelasan penuh dalam satu sidang khas Parlimen khusus berhubung banjir besar ini.

“Kami turut berpandangan bahawa kerajaan perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan satu RCI selaras dengan titah Seri Paduka bahawa satu pascanilai banjir besar ini dilakukan termasuk buat Sabah dan Sarawak.

“Ini bagi mengenal pasti segala kelemahan perancangan dan kelewatan pelaksanaan dapat diatasi termasuk kepincangan yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebagaimana didedahkan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berhubung enam kolam takungan banjir di Kuala Lumpur yang telah diberi milik untuk tujuan pembangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani pemimpin empat parti komponen PH iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.

Mengulas lanjut, Majlis Presiden PH turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas, sukarelawan dan dermawan yang membantu dalam pelbagai misi menyelamat, membersih dan memulihkan kawasan terjejas di beberapa negeri sejak 18 Disember lalu.

Katanya, tenaga dan semangat sukarelawan mungkin diperlukan lagi bagi membantu menghadapi gelombang kedua di Pantai Timur.

“Pada masa sama, suara rakyat kedengaran di media sosial amat lantang mengkritik respons Jemaah Menteri yang sangat lembab atau dilihat setakat ‘berwayang’ tanpa benar-benar membantu mangsa banjir.

“Ia termasuk ketika banjir di Tenom serta Penampang, Sabah pada Mei dan September lalu,” jelasnya.

Tiada ulasan: