HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Disember 2021

Perpaduan politik Melayu-Islam sangat penting

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
 

RANTAU PANJANG: Dewan Muslimat PAS menyambut baik hasrat PAS Kelantan untuk mengadakan pertemuan dengan Umno Kelantan bagi memperkemaskan hubungan kedua-dua parti dalam Muafakat Nasional (MN).

Ketuanya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, setiap pihak perlu menggunakan ruang yang ada untuk mempertautkan hati rakyat yang sedang berdepan musibah Covid-19.

“Belum pun lagi selesai wabak Covid-19, sekarang datang banjir pula,” kataya selepas membuat tinjauan kerja-kerja pembinaan laluan air baru di Kampung Pak Teh Kana melibatkan Sungai Lemal Lanchang di sini semalam.

Jumaat lepas, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob memberitahu PAS dan Umno akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan status MN minggu ini.

Siti Zailah berkata, Majlis Syura Ulamak PAS sebelum ini mahu gabungan MN diperkukuhkan, selain mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya kelangsungan politik Melayu Islam hari ini hanya dapat direalisasikan sekiranya semua parti yang memperjuangkan mengenai kepentingan teras tersebut dapat disatukan.

“Kena lihat jauh iaitu keutamaan politik orang Melayu dan Islam jadi perpaduan sangat penting tambah-tambah Kelantan majoriti penduduknya Melayu Islam.

“Jadi apa ertinya kita berpecah belah tidak bersatu,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Malah pada muktamar PAS di Kuala Terengganu November lepas tegas mempertahankan MN dan PN demi keutuhan politik orang Melayu di negara ini. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: