BEKAS Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony menyifatkan parti itu sudah tersasar jauh daripada perjuangan sebenar penubuhannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu berkata, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga dilihat tersasar dengan perjuangan apabila melebarkan sayap ke Semenanjung.

“Kami percaya perjuangan Warisan ini telah jauh tersasar apabila mereka beralih untuk pergi ke Kuala Lumpur sedangkan rata-rata pengundi dan rakyat Sabah mahukan parti yang betul-betul memperjuangkan nasib mereka selaku parti tempatan di negeri Sabah ini,” katanya pada sidang akhbar di Kota Kinabalu, hari ini, lapor Astro Awani.

Peter Anthony yang mengumumkan keluar Warisan selepas hilang kepercayaan kepada parti turut memberitahu akan menubuhkan satu parti tempatan baharu pada Januari ini.

Selain Peter Anthony, turut mengumumkan keluar parti ialah ADUN Limbahau, Datuk Juil Nautim.

Ditanya sama ada keputusan meninggalkan Warisan dibuat selepas mendapat tekanan daripada mana-mana pihak, Peter Anthony berkata, ia merupakan keputusan peribadi beliau.

“Penubuhan parti ataupun keputusan untuk keluar dari Warisan ini bukanlah disebabkan kerana saya mempunyai kes di mahkamah dan sebagainya, kes tersebut belum diputuskan, keputusan itu masih di peringkat mahkamah,” katanya.

Berhubung parti yang bakal ditubuhkan itu beliau berkata parti baharu itu nanti adalah parti tempatan dan melibatkan pelbagai suku kaum di negeri itu.

Peter Anthony juga menegaskan, beliau sedia menerima sebarang tindakan undang-undang ke atasnya, termasuk mengosongkan kerusi DUN itu.

“Sekiranya saya harus mengosongkan kerusi Melalap dan bertanding semula, saya akan bertanding semula atas parti saya sendiri.

“Kita akan lihat kemudian, namun sekiranya ada keputusan daripada mahkamah yang juga menyatakan ada kos perlu dibayar kepada Warisan, kita akan atur, kalau itu sudah menjadi peraturan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua, berkata kepimpinan tertinggi parti itu akan membincangkan tindakan Peter Anthony dan Juil keluar parti dalam masa terdekat.

Katanya, keahlian dua wakil rakyat itu terbatal secara automatik, selepas mereka mengumumkan keluar parti secara terbuka.

“Mengikut perlembagaan parti, kalau mereka sudah mengumumkan keluar parti secara terbuka, keahlian mereka akan terbatal secara automatik.

“ADUN yang berkaitan juga tidak perlu lagi menghantar surat maklumkan parti,” katanya ketika dihubungi FMT.