PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti tersebut meningkatkan jumlah bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara dan menjalankan misi bantuan melalui Skuad Prihatin BERSATU.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, skuad tersebut ditubuhkan sejurus banjir besar melanda negara pada 19 Disember lalu dan pada masa ini sedang giat membantu mangsa-mangsa banjir di semua negeri yang ditimpa bencana ini.
“Hari ini saya berkesempatan menyertai misi bantuan pasca banjir Skuad Prihatin BERSATU di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.
“Misi bantuan hari ini tertumpu kepada kerja-kerja membersih kawasan rumah dan menyampaikan bantuan keperluan harian kepada mangsa-mangsa banjir dan turut disertai oleh sukarelawan Tan Sri Muhyiddin Charity Golf Foundation (TSMCGF) dan BERSATU Bahagian Hulu Langat,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya hari ini.
Katanya, ketika menyertai misi tersebut, beliau telah meluluskan bantuan segera dua kontena sebagai penempatan sementara untuk dua keluarga yang telah kehilangan tempat tinggal akibat banjir di Hulu Langat.
Beliau berkata, Pegawai Daerah Hulu Langat yang turut hadir juga mengumumkan bantuan kerajaan bagi pembinaan semula sebuah rumah kampung yang musnah.
“Saya juga telah menyampaikan bantuan segera berupa barangan makanan, pakaian, peralatan dapur dan barangan keperluan harian lain kepada beberapa keluarga yang saya lawati.
“Saya turut berkesempatan bertemu dengan dua pengusaha bengkel yang mana peralatan bengkel mereka rosak akibat banjir.
“Insya-Allah, pihak BERSATU juga akan menghulurkan bantuan kepada dua pengusaha ini agar mereka dapat kembali beroperasi semula,” katanya.
Katanya, Tabung Bencana Banjir BERSATU berjumlah RM1 juta seperti diumumkan pada Perhimpunan Agung Tahunan parti telah digunakan untuk tujuan membantu mangsa-mangsa banjir, termasuk membeli peralatan pembersihan dan barangan keperluan harian untuk mereka.
Muhyiddin berkata, melihat kepada keperluan mangsa banjir yang amat terdesak, beliau telah berjaya mendapat dana tambahan RM1 juta lagi hasil sumbangan beberapa dermawan.
“Saya difahamkan hujan lebat telah menyebabkan air sungai melimpah dengan kadar yang cepat dan saya ingin menyarankan kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya membuat kajian segera untuk mendalam dan meluruskan Sungai Langat bagi mengelakkan banjir besar berulang pada masa akan datang,” tambahnya.
Katanya, beliau juga berharap pembayaran wang saguhati kepada mangsa banjir seperti yang telah diumumkan oleh kerajaan dapat disalurkan dengan segera bagi meringankan beban mereka.
Beliau berkata, bantuan dari segi kesihatan dan psikologi juga perlu disediakan bagi membantu trauma yang dihadapi oleh mereka yang telah kehilangan harta benda dan ada juga yang kehilangan ahli keluarga.
“Segala usaha sukarelawan yang telah berkorban masa, tenaga dan wang juga perlu diberi pengiktirafan dalam membantu mereka yang terlibat dengan musibah ini.
“Terima kasih juga kepada semua pegawai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO )yang terlibat dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir,” katanya.
Muhyiddin meminta agar rakyat di negara ini bersama-sama membantu dan menyumbang dalam apa jua cara yang termampu untuk membantu mangsa banjir membina semula kehidupan pasca banjir.
“Saya yakin dan percaya semangat bantu membantu yang telah ditunjukkan oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia ini dapat meringankan beban mangsa-mangsa bencana yang terkesan teruk.
Saya berdoa semoga mereka diberi kekuatan dalam berhadapan musibah ini dan saya juga berdoa agar para sukarelawan dan petugas barisan hadapan sentiasa dilindungi Allah SWT dalam melaksanakan misi bantuan,” katanya. – UtusanTV
Tiada ulasan:
Catat Ulasan