HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Disember 2021

Parlimen Terus Berdiri Utuh D Sebalik Cabaran Kesihatan, Politik

UMNO ONLINE

KUALA LUMPUR – Berdepan cabaran kesihatan dan politik, Parlimen sebagai institusi perundangan tertinggi negara, terus berdiri utuh menggubal undang-undang dan menjadi forum membincangkan perkara-perkara berkaitan kepentingan rakyat.

Melabuhkan tirainya pada 20 Dis lepas, sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen ke-14 yang bersidang selama 32 hari antaranya meluluskan Bajet 2022 melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM332.1 bilion, terbesar dalam sejarah belanjawan negara, dengan matlamat memulihkan ekonomi kesan pandemik COVID-19.

Sejarah turut tercipta pada 14 Dis apabila pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia mendapat sokongan lebih dua pertiga Ahli Parlimen.

Mesyuarat kedua yang bermula pada 25 Okt itu berlangsung dalam semangat politik baharu dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos dan Pakatan Harapan (PH).

Detik bersejarah MoU itu disempurnakan Ismail Sabri dan ketua-ketua parti dalam PH, kira-kira 5 petang pada 13 Sept di bangunan Parlimen bagi membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Sementara itu, mesyuarat Dewan Rakyat yang kebiasaannya berlangsung tiga kali bagi setiap penggal hanya berlangsung dua kali pada 2021 susulan wabak COVID-19 yang masih mencengkam negara sehingga kini, sejak ia mula dilaporkan di Malaysia pada awal 2020.

Mesyuarat pertama bagi penggal ini berlangsung selama 17 hari bermula 13 Sept hingga 12 Okt, dengan fokus utama adalah pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021 hingga 2025 oleh kerajaan melibatkan peruntukan RM400 bilion.

Persidangan Parlimen ditangguhkan sejak awal tahun setelah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Jan lepas memberi perkenan pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Kira-kira sebulan kemudian Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Susulan itu, pemimpin-pemimpin politik dari blok pembangkang dan kerajaan mula menyuarakan pandangan supaya Parlimen mengadakan persidangan khususnya bagi membincangkan kes penularan COVID-19 sebelum Seri Paduka berkenan menerima menghadap pemimpin politik pada 9 Jun.

Pada 16 Jun, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan perkara itu turut disokong Raja-Raja Melayu.

Pada 5 Julai, kerajaan bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya persidangan khas Dewan Rakyat bagi penggal ketiga diadakan selama lima hari pada 26, 27, 28 dan 29 Julai serta 2 Ogos manakala persidangan Dewan Negara ditetapkan pada 3 hingga 5 Ogos.

Mesyuarat khas pada hari keempat yang sepatutnya membincangkan isu sosial ekonomi rakyat bertukar topik selepas tumpuan beralih kepada isu darurat susulan kenyataan Istana Negara yang menyebut Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum diperkenan Baginda.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian menyerahkan usul bahawa Dewan Rakyat hilang kepercayaan kepada Muhyiddin dan dimakzulkan daripada jawatan Perdana Menteri dengan segera.

Mesyuarat pada hari itu ditangguh lima kali bermula 12.30 tengah hari, sebelum Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon pada 5.15 petang mengumumkan penangguhan mesyuarat pada 10 pagi Isnin, 2 Ogos.

Bagaimanapun, mesyuarat pada Isnin itu tidak berlangsung selepas notis dikeluarkan Dewan Rakyat menyatakan penangguhan persidangan ke suatu tarikh susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan COVID-19 di Parlimen.

Rentetan itu, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka bagi melahirkan rasa tidak puas hati dengan penangguhan itu.

Pada 3 Ogos, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan surat akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin telah dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Akhirnya, Muhyiddin pada 16 Ogos mengumumkan meletak jawatan selepas 17 bulan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan setelah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen. – BERNAMA

Tiada ulasan: