HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Disember 2021

Pas Kelantan tunggu ‘lampu hijau’ Pusat

Oleh ROSLIZA MOHAMED

AHMAD Yakob (kiri) merasmikan Tumpat Monsoon Ride 2021 anjuran Kelab Anak Muda Tumpat di Maahad Muhammadi Tumpat hari ini. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED

TUMPAT: Pas Kelantan menunggu maklum dan kebenaran Pas Pusat sebelum meneruskan perbincangan dengan UMNO bagi menentukan hala tuju masa Muafakat Nasional (MN) di negeri ini.

Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berkata, pihaknya telah bermesyuarat semalam dan memutuskan untuk menunggu jawapan Pas Pusat dahulu sebelum bertemu UMNO Kelantan.

“Jadi Pas Kelantan sekarang sedang menunggu keputusan Pas Pusat kerana ia lebih kepada dasar parti.

“Kita telah bermesyuarat dan kini tunggu respons pusat. Insya-Allah kita mendoakan lebih banyak kebaikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tumpat Monsoon Ride 2021 di Maahad Muhammadi Tumpat di sini hari ini.

Program anjuran Kelab Anak Muda Tumpat itu melibatkan 240 peserta yang bakal melakukan aktiviti kayuhan sejauh 30 kilometer dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat.

Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub minggu lalu dilaporkan telah mengutus surat kepada Pas Kelantan untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan hala tuju MN di negeri ini, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15.

Tiada ulasan: