HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Disember 2021

KPWKM bantu mangsa banjir, penjelasan Timbalan Menteri

YB DATO’ SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
 
Siti Zailah semasa melawat PPS di Pahang.

BENCANA banjir yang melanda negara telah melibatkan lapan buah negeri secara keseluruhan. Mulai 17 sehingga 28 Disember 2021, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menempatkan seramai 114,280 mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah dibuka di seluruh negara.

Sebanyak 771 PPS telah dibuka bagi menempatkan sebanyak 31,921 keluarga mangsa yang terjejas sepanjang tempoh tersebut, ianya adalah tidak termasuk keluarga yang tidak berpindah ke PPS.

Sebanyak 6,470 PPS yang boleh menempatkan seramai 1.5 juta orang pada satu-satu masa telah digazetkan oleh kerajaan sebagai penempatan sementara mangsa bencana seluruh Negara.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menggerakkan lebih dari 3,000 Pegawai JKM yang bertugas bagi memastikan penempatan dan kebajikan mangsa-mangsa banjir berada dalam keadaan terurus serta makan minum yang mencukupi.

Seramai 135 pegawai JKM yang bertugas juga turut menjadi mangsa bencana banjir.

Sejumlah lebih RM35 juta telah dibelanjakan oleh JKM bagi tujuan penyediaan barangan keperluan asas melibatkan barangan seperti comforter (toto), tikar/pelapik lantai, selimut, tuala mandi, kain pelikat/batik, hygiene kit dan lain-lain keperluan. Manakala bagi collapsible tent (C-tent), lebih 31,921 unit telah digunakan bagi memberi ruang keselesaan kepada keluarga yang berada di PPS.

JKM juga turut menyediakan makanan bermasak di setiap PPS mengikut bilangan mangsa termasuk petugas sepanjang tempoh mangsa berada di Pusat Penempatan Sementara.

Sebanyak lapan buah depoh Utama JKM, 521 pengkalan hadapan dan 165 Depoh Mini JKM.

Semua Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir akan dibantu oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000.

Seramai 1,500 Sukarelawan Kaunselor yang berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia juga telah digerakkan untuk menjalankan Intervensi Psikososial kepada mangsa bencana yang terlibat.

Kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita juga telah menggerakkan Skuad Waja yang memiliki keahlian berdaftar seramai 100,200 untuk turun sama membantu mangsa bencana memberikan sokongan emosi termasuk membantu membersihkan rumah mangsa banjir.

Kementerian melalui JKM juga membantu mengumpul dan mengatur gerakan sukarelawan yang berminat untuk berminat untuk membantu dalam pasca banjir seperti pembersihan rumah, surau, masjid dan lain-lain.

Setiap kumpulan sukarelawan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh menghubungi terus PKOB Daerah bagi mendapatkan lokasi yang bersesuaian. Kehadiran secara berkumpulan adalah lebih diutamakan dalam pelaksanaan kerja ini.

JKM dengan kerjasama strategik bersama Khidmat Malaysia dan Majlis Belia Negara telah menghantar lebih 10,000 orang sukarelawan Khidmat Malaysia ke negeri yang terlibat banjir sepanjang tempoh tersebut.

Selain itu, JKM bersama Khidmat Malaysia telah berjaya mewujudkan dan menyelaras penyediaan dapur rakyat di setiap lokasi bencana banjir yang memanfaatkan seramai lebih 16,000 mangsa bencana banjir.

Pihak Kementerian amat menghargai jasa dan pengorbanan kumpulan sukarelawan dan NGO serta Pemimpin Komuniti yang telah banyak membantu JKM dalam pengurusan agihan bantuan kepada mangsa banjir sama ada di PPS mahupun yang telah pulang ke rumah.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan PPS yang masih dibuka dan telah ditutup boleh dirujuk melalui aplikasi Info Bencana JKM yang boleh dimuat turun secara digital.

Menjadi harapan saya, agar mana-mana pihak atau individu yang tidak terjejas dan berkemampuan untuk sama-sama menghulurkan tangan, ringankan beban mereka yang sedang diuji dengan musibah bencana banjir.

Ketika inilah, semangat Keluarga Malaysia perlu menjadi cerminan kepada sikap peka dan prihatin sesama kita yang mungkin memerlukan bantuan.

(*) YB DATO’ SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
 – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: