HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Disember 2021

Banjir: Susah Senang Rakyat, UMNO Sentiasa Bersama Hulur Bantuan – Ahmad Maslan

Oleh: Amin Adnan & Nurul Saadah Latib


KUALA LUMPUR– Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa UMNO sentiasa bersama rakyat mendepani kehidupan dalam apa-apa juga keadaan.

Katanya, sebagaimana menghadapi bencana banjir yang melanda, UMNO sedia turun padang bagi menghulurkan bantuan dan meringankan beban mangsa yang terlibat.

“UMNO bersama rakyat adalah salah satu cogan kata kita… segalanya itu adalah bersama dengan mereka dalam masa susah dan senang itu penting. Sekarang ini mereka susah maka UMNO/BN perlu membantu mereka sehabis baik yang boleh,” katanya kepada UMNO Online.

Sementara itu, mengulas lanjut beliau juga sekali lagi meluahkan kekesalan ekoran sebuah hantaran di Facebook yang sengaja dibuat oleh sebuah parti politik bagi mewujudkan persepsi negatif kepada pemimpin UMNO terutamanya Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Mereka itu sebenarnya tidak ada kerja lain, silap-silap mereka entah bercuti ke mana tetapi terus mengeluarkan perkara-perkara tanpa ada usul periksa.

“Sepatutnya kita hendaklah semak sebelum sebar dan kita perlu mempunyai prinsip kekal untuk tidak menfitnah. Bukan parti yang kekal berprinsip tetapi menfitnah… saya harap mereka membuang apa yang mereka buat,” tegasnya.

Ini berkitan semalam tular gambar Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional memikul barang keperluan yang didakwa ketika banjir melanda negara pada minggu lalu sedangkan perbicaraan membabitkan beliau di mahkamah pada Khamis terpaksa ditunda susulan beliau dilaporkan tidak sihat.

Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian hari ini sebelum bergerak mengetuai Misi Sukarelawan Bantuan Banjir Ibu Pejabat UMNO dengan membawa barang-barang keperluan makanan untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di Linggi dan Ayer Limau.

“Kami akan menyerahkan barangan terkumpul dan semoga ianya dapat membantu meringankan sedikit sebanyak bebanan yang ditanggung oleh mangsa banjir.

“Setakat ini saya berpuas hati terhadap apa yang dibuat oleh UMNO dan BN mewakili Presiden dan Timbalan serta kepimpinan parti. Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat.”

Sumbangan bantuan yang dibawa adalah sebanyak 500 kampit beras, 300 bungkus mee segera dan 300 bungkus biskut untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang terjejas bagi meringankan beban mereka.

Misi terbabit turut disertai sukarelawan dari Ibu Pejabat UMNO dan sumbangan bantuan ini diadakan selama dua hari.

Dilaporkan, sejak bencana banjir melanda misi terbabit telah memulakan gerakan dengan Ahmad Maslan mewakili Ibu Pejabat UMNO berkesempatan menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Pahang iaitu Bentong dan Temerloh.

Terdahulu beliau telah turun ke Parlimen yang terlibat banjir besar iaitu Ampang, Hulu Langat, Shah Alam, Kota Raja, Klang, Bangi, Sepang, Kuala Selangor dan Selayang. – UMNO Online

Tiada ulasan: