'Sekarang seolah ada petanda rakyat tak kisah siapa jadi wakil rakyat'
BANGI – Ahli politik ibarat boneka sekiranya benar dakwaan pentadbiran negara dicatur oleh golongan kapitalis.
Ini kerana, walaupun Malaysia dikenali sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan rakyat diberikan hak untuk menentukan masa depan negara, suara wakil rakyat seolah-olah ditenggelamkan.
Sebaliknya, ia seperti dicatur oleh satu kumpulan di belakang, dakwa Presiden Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni sambil memberi contoh isu durian Musang King di Pahang dan isu-isu lain yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
Justeru, beliau bimbang jika rakyat sudah lagi tidak percaya kepada ahli politik dan kemungkinan mereka akan melakukan suatu tindakan sendiri untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa.
Lebih membimbangkan, sekiranya ia dilakukan luar daripada saluran ataupun batas yang dibenarkan Perlembagaan, undang-undang dan norma pengurusan yang biasa dilakukan dalam negara ini.
“Kalau itu berlaku sebenarnya negara akan berdepan suatu keadaan huru-hara.
“Ini kerana pada masa itu kita seolah-seolah tidak ada lagi pemimpin yang dihormati oleh sesiapapun dan cakapnya didengari daripada kalangan rakyat,” katanya.
Bahkan katanya, sekarang sudah ada seolah-olah suatu petanda rakyat tidak kisah siapa yang menjadi wakil rakyat.
“Dan kita juga melihat dalam sesetengah Pilihan Raya Kecil (PRK) bagaimana peratusan keluar mengundi juga menurun mungkin disebabkan faktor ini.
“Faktor di mana rakyat sudah tidak kisah siapa yang naik untuk menjadi Ahli Parlimen, ADUN dan seumpamanya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan