HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Disember 2021

Pemuda Amanah gesa tubuh Suruhanjaya Bebas siasat SPRM

MALAYSIA POST

Pemuda Amanah gesa tubuh Suruhanjaya Bebas siasat SPRM

PEMUDA Amanah menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat dakwaan salah laku melibatkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia bagi mengembalikan kepercayaan rakyat dan pelabur asing yang didakwa telah menjauhkan diri sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketuanya, Hasbie Muda, turut mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki bercuti bagi memberikan laluan kepada penyiasatan mengenai aduan terhadapnya.

Menurutnya, seseorang yang mendapat kepercayaan Ahli Jawatankuasa Memerangi Rasuah harus diamanahkan untuk mengemudi SPRM menggantikan Azam sehingga siasatan selesai.

“Pemuda Amanah Nasional kesal dengan sikap Ketua Pesuruhjaya SPRM yang membisu mengenai aduan salah laku dan penyelewengan terhadapnya.

“Ahli ekonomi Dr Edmund Terrence Gomez telah meletakkan jawatan sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM selepas panel tersebut gagal bertindak terhadap dakwaan melibatkan Azam Baki di sebuah syarikat senarai awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasbie berkata, beliau menyifatkan aduan itu bukanlah terkait dengan jenayah kecil, bahkan ia perbuatan rasuah oleh seorang pemimpin utama pasukan penguatkuasaan dan pencegahan rasuah dalam negara.

Jelas beliau, Azam tidak harus berdiam diri dan perlu memberi tindak balas serta bertanggungjawab untuk mengemukakan bukti sekiranya dakwaan dan tuduhan itu palsu.

Terdahulu Gomez meletak jawatan selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai-pegawai tinggi di SPRM.

Gomez dalam surat letak jawatannya yang tular di media sosial berkata, timbul persoalan mengenai ‘hubungan antara perniagaan dan pihak penguat kuasa’ dan situasi ‘konflik kepentingan’ melibatkan pegawai tinggi SPRM serta dakwaan bahawa pegawai itu memiliki saham. – Malaysiapost

Tiada ulasan: