HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Disember 2021

Tubuh parti baru, Anthony boleh pecah-belahkan rakyat Sabah – Shafie Apdal

MALAYSIA POST

Tubuh parti baru, Anthony boleh pecah-belahkan rakyat Sabah – Shafie Apdal

TINDAKAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony keluar dari Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi menubuhkan parti tempatan pelbagai kaum dijangka memecahbelahkan perpaduan rakyat di Sabah.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata keputusan Anthony yang juga bekas Naib Presiden parti berkenaan juga bukan sesuatu yang mengejutkan.

“Saya bersimpati kerana beliau sudah beberapa kali menyatakan hasratnya berikutan kes mahkamah yang dihadapinya.

“Keputusan Peter (Anthony) untuk menubuhkan sebuah lagi parti pelbagai kaum yang bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya akan memecahbelahkan lagi rakyat Sabah dan masyarakat di pedalaman.

“Tindakan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim, juga mendukacitakan kerana terpengaruh dengan Peter (Anthony) yang menyebabkannya mengambil keputusan tergesa-gesa,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.

Mohd Shafie turut menyifatkan hasrat Anthony menubuhkan parti baharu tempatan pelbagai kaum bercanggah dengan tindakannya ingin menyertai kerajaan negeri yang terdiri daripada parti nasional.

“Dalam sidang media, Peter (Anthony) berkata sesebuah negeri patut ditadbir oleh parti politik setempat menurut negeri masing-masing.

“Bagaimanapun ini bercanggah dengan tindakannya untuk menyertai GRS yang terdiri daripada parti nasional dan parti tempatan,” katanya.

Beliau bagaimanapun menafikan kenyataan Anthony yang menyatakan parti Warisan telah jauh tersasar dari perjuangan asal apabila melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia.

“Sejak ditubuhkan, Warisan lantang bersuara memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 sehinggalah pindaan Perlembagaan dilaksanakan baru-baru ini untuk mengembalikan status sebagai rakan sekutu Semenanjung.

“Alasan untuk keluar parti kerana Warisan tersasar dari perjuangan asal hanya kerana melebarkan sayap ke Semenanjung, adalah tidak benar.

“Ini kerana pada mesyuarat Majlis Tertinggi sebelum ini dan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan (2020) pada 12 Disember lalu, seluruh ahli majlis tertinggi dan ahli parti menyokong penuh langkah itu pada perhimpunan itu.

“Keputusan untuk melebarkan Warisan ke Semenanjung adalah satu langkah untuk menawarkan satu lagi pilihan kepada semua pengundi di Malaysia,” katanya.

Semalam, media melaporkan Anthony mengumumkan keluar dari parti Warisan bagi menubuhkan sebuah parti baharu tempatan.

Katanya, parti baharu yang bakal ditubuhkan itu adalah sebuah parti mesra Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang akan menyokong kerajaan negeri. – Malaysiapost

Tiada ulasan: