HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Disember 2021

PN gabungan paling mesra, MN ketinggalan zaman jika…, kata Hadi


PAS berpendapat gabungan Perikatan Nasional (PN) adalah yang paling mesra kerana boleh menerima parti yang tidak ekstrem, sementara Muafakat Nasional (MN) adalah satu pendekatan usang dan bermasalah jika hanya disertai parti itu dan UMNO.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata kewujudan PN dibina dengan jalinan perpaduan yang perlu dikukuhkan dan dilakukan penambahbaikan atas asas yang sama dengan pentafsiran yang merdeka daripada ikatan fahaman penjajah.

Menurutnya PAS teguh dengan pendirian menubuhkan Muafakat Nasional (MN) yang dimulakan dengan konsep memilih parti Melayu Islam dan Bumiputera di Semenanjung, sebelum diteruskan di Sabah bersama Bersatu dan UMNO.

“Setelah itu, berkembar pula dengan penubuhan PN bersama parti-parti bukan Islam, sehingga membolehkan penubuhan Kerajaan Pusat berkonsepkan kerajaan campuran PN bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berada dalam situasi dan realitinya yang tersendiri.

“Keadaan hari ini menunjukkan bahawa semua parti tidak bersendirian, malah gabungan PN ialah gabungan yang paling mesra.

“Demikian itu, disebabkan kedudukan PN yang menerima parti-parti yang tidak ekstrem dan juga parti yang masih berpegang dengan asas-asas penting dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Hadi berkata kewujudan PN juga tanpa parti yang menunjukkan ketidaksetiaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan tidak mesra terhadap Islam ataupun hanya diperalatkan oleh mana-mana pihak.

“PAS perlu berpegang teguh dengan konsep Ta‘awun Siyasi yang masih baharu diperkenalkan dan menolak apa sahaja pendekatan yang lain.

“Bahkan, jauh sekali daripada berundur kepada pendekatan yang hanya disertai oleh UMNO dan BN sahaja, sebagaimana yang pernah dilaksanakan dan sudah usang ketinggalan zaman serta bermasalah,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu yakin dan percaya PAS tidak pernah mengalami sebarang kerugian sepanjang perjalanan politiknya, walaupun pernah diperlakukan terhadapnya oleh pihak yang lain.

“Malah, ahli dan cawangannya juga tetap bertambah, walaupun dicantas ahli-ahlinya. Sehingga kerusi dan negeri yang pernah dimenanginya oleh pelbagai pihak yang tidak ikhlas pun dicantas.

“Semua perkara yang berlaku itu laksana pokok yang hidup subur sentiasa menambah dahan dan rantingnya, sekalipun ia dicantas dan dipotong. PAS merasai kebenaran daripada firman Allah SWT kepada perjuangan yang sentiasa beristiqamah,” katanya memetik ayat 24-27 Surah Ibrahim.

Tiada ulasan: