MALAYSIA POST
MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) berpendirian Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri wajib memberi penjelasan penuh dalam satu sidang khas Parlimen khusus berhubung banjir besar kali ini.
Menurutnya menerusi kenyataan hari ini, pihaknya turut berpandangan kerajaan perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja.
Katanya, ia selaras dengan titah Tuanku bahawa satu pascanilai (postmortem) banjir besar ini dilakukan, termasuk juga buat Sabah dan Sarawak.
“Ini bagi mengenalpasti segala kelemahan perancangan dan kelewatan pelaksanaan dapat diatasi, termasuk kepincangan yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebagaimana didedahkan Ahli Parlimen Segambut.
“Ia berhubung enam kolam takungan banjir di Kuala Lumpur yang telah diberi milik untuk tujuan pembangunan,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar
Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan
Eng dan Presiden Pertubuhan
Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.
Dalam pada itu Majlis Presiden PH turut mengucapkan jutaan terima kasih buat semua petugas, sukarelawan dan dermawan yang membantu dalam pelbagai misi menyelamat, membersih, dan memulihkan kawasan yang sangat terjejas akibat banjir.
Menurutnya, semangat para sukarelawan mungkin diperlukan lagi bagi membantu menghadapi gelombang kedua banjir di
pantai timur Semenanjung Malaysia.
“Pada masa sama, suara rakyat kedengaran di media sosial amat lantang mengkritik respon Jemaah Menteri yang sangat lembab atau dilihat setakat ‘berwayang’ tanpa benar-benar membantu mangsa banjir, termasuk di Sabah iaitu di Tenom pada Mei dan Penampang pada Semptember lalu.
“Kesan banjir besar dari segi kerosakan harat benda dan kehilangan nyawa hampir 50 orang kali ini amat ketara dan mengguris hati.
“Malah fenomena ini membuka mata kita semua kepada realiti bahawa perubahan iklim dan aktiviti manusia khususnya pembalakan berleluasa dan pembangunan tidak mampan akhirnya memberi kesan amat negatif buat rakyat,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan