KUALA LUMPUR – Ketiadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu majlis minum petang Hari Krismas baru-baru ini tidak perlu dijadikan isu hingga boleh menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan itu perlu dihentikan segera, apatah lagi datang daripada pemimpin DAP yang dilihat tidak sensitif dengan kesengsaraan rakyat yang dilanda bencana banjir.
“Perkara sebegini pun nak dijadikan isu? Tak bolehkah DAP berhenti menjadi parti chauvinis yang suka mainkan isu kaum dan agama?
“Lim Kit Siang tidak perlu memainkan sentimen sebegini di saat musibah melanda. Penganjur pun tak ada yang bagi komen negatif tapi DAP pula yang pipi tersorong-sorong ambil kesempatan.
“Saya tak faham kenapa DAP timbulkan isu perkauman dalam waktu sekarang,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.
Semalam, Kit Siang dalam hantaran di Facebook miliknya mendakwa ketidakhadiran Ismail Sabri dalam Majlis Minum Petang Krismas anjuran Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) menunjukkan kegagalan beliau sebagai Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.
Kata Kit Siang, ia juga kegagalan slogan Keluarga Malaysia untuk menjadi sebuah keluarga yang inklusif tanpa mengira kaum, agama atau kawasan.
Dalam pada itu, Wan Saiful berkata sewajarnya semua pihak berganding bahu membantu rakyat yang terkesan dengan musibah banjir tanpa mengira bangsa dan agama.
“Perpaduan yang kita dapat lihat dalam misi bantuan banjir, DAP tak nak komen pula?
“Lebih elok pemimpin DAP diam saja daripada sengaja nak pecah belahkan keharmonian negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan