HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Disember 2021

Peter Anthony sah keluar WARISAN, bakal tubuh parti baharu


Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Peter Anthony yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu bagi menubuhkan sebuah parti baharu tempatan.

Beliau mengesahkan akan menubuhkan parti baharu yang mesra Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyokong kerajaan negeri, kerana ia adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi di Sabah.

“Kita akan membentuk parti baharu sebagai parti pelbagai kaum. Rakyat Sabah memerlukan sebuah parti yang benar-benar memperjuangkan hak orang Sabah dan itu yang paling penting untuk kita.

“Parti WARISAN sudah tersasar daripada perjuangan asal. Prinsip ‘Sabah untuk Sabahan’ ini telah tersasar apabila mereka melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia,” katanya.

Anthony juga menafikan keputusan beliau keluar dari WARISAN tidak ada kena mengena dengan kes mahkamah berkaitan pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau sebaliknya menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan (berkenaan kes) dan menjelaskan keputusannya adalah berdasarkan suara akar umbi mahukan parti tempatan yang memperjuangkan hak Sabah.

Anthony adalah ADUN keempat WARISAN yang keluar parti selepas ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir, ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan ADUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Tiada ulasan: