Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan barisan Kabinet baharu Sarawak terdiri daripada 10 menteri dan 26 menteri muda, dengan beliau sendiri memegang portfolio Kewangan dan Ekonomi Baharu; Sumber Asli dan Pembangunan Bandar; serta Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar.
Beliau juga melantik tiga Timbalan Ketua Menteri terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; ADUN Bukit Sari Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; dan ADUN Batu Kawah Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Di bawah Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar dilantik seorang Menteri Muda, Dr Hazland Abang Hipni yang baharu menganggotai Kabinet, lapor Utusan Borneo.
Dr Sim turut dilantik sebagai Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan dua Menteri Muda iaitu Dr Penguang Manggil dan Micheal Tiang (baharu).
Sementara Uggah, turut dilantik sebagai Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II dan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan yang dibantu dua Menteri Muda iaitu Aidel Lariwoo dan Datuk Majang Renggi (baharu).
Awang Tengah memegang portfolio Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dengan Menteri Mudanya Datu Len Talif Salleh serta sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan dengan Menteri Mudanya, Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh.
Bagi Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Menterinya Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan dua Menteri Muda, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Martin Ben (baharu).
Menteri Pengangkutan kekal disandang oleh Datuk Seri Lee Kim Shin dengan dua Menteri muda Datuk Dr Jerip Susil dan Datuk Henry Harry Jinep (baharu).
Bagi Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Menterinya, Datuk Julaihi Narawi dan Menteri Mudanya Datuk Liwan Lagang dan Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memegang portfolio Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan dengan Datuk Sebastian Ting dan Datuk Snowdan Lawan sebagai Menteri Muda.
Satu lagi kementerian dibawah Abdul Karim ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan dengan Datuk Gerald Rentap Jabu dan Dr Ripin Lamat sebagai Menteri Muda dan kedua-duanya (baharu).
Sementara itu Menteri Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Kesejahteraan Komuniti menyaksikan Datuk Seri Fatimah Abdullah sebagai Menteri dan Menteri Muda, Datuk Rosey Yunus serta Mohamad Razi Sitam (baharu).
Bagi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat ia menyaksikan Datuk Roland Sagah Wee Inn sebagai Menteri dan Dr Annuar Rapa’ee dan Datuk Francis Harden sebagai Menteri Muda.
Abang Johari berkata asas barisan Kabinet baharu yang beliau umumkan hari ini adalah berdasarkan pasca Covid-19 Strategi Pembangunan 2030, yang akan membangunkan Sarawak menjadi sebuah negeri berekonomi tinggi.
Beliau berkeyakinan barisan Kabinet baharu itu adalah Kabinet yang berfungsi, kompeten, telus dan berintegriti serta menumpukan kepada penyampaian perkhidmatan yang berkesan.
“Pasukan ini juga akan mengukuhkan status Perlembagaan Sarawak sebagai wilayah rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia, mengikut pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan dengan rujukan kepada MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dan lampirannya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan