KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’
Siti Zailah Mohd Yusoff tidak dapat melelapkan mata memikirkan nasib
rakyat yang tinggal di kawasan berisiko banjir.
Beliau berkata,
ekoran daripada ramalan cuaca yang akan membawa hujan lebat dan banjir
besar pada semalam dan hari ini, pihaknya berusaha sedaya upaya untuk
memastikan rakyat selamat.
“Pusat pemindahan sementara (PPS) bersiap sedia untuk menerima mangsa gelombang kedua banjir dan semua agensi kerajaan juga bersiap sedia,” ujarnya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook beliau, malam tadi.
Menurutnya, di Rantau Panjang pihak Jabatan Parit dan Saliran Negeri Kelantan membuat benteng untuk menutup empat culvert dan dua jambatan yang memungkinkan air Sungai Golok boleh masuk sekiranya paras air sungai naik akibat banjir dari Jeli.
Beliau menambah, malam tadi kerja penambakan diteruskan bermula pada siang dan tiga tempat sudah siap.
“Insya-Allah jika siap semuanya, maka dapat menyelamatkan penduduk setempat dari air banjir yang datang dari Sungai Golok masuk ke Sungai Lancang dan kampung sekitar yang baru saja kering daripada banjir gelombang pertama.
“Semoga Allah permudahkan urusan. Sama-sama kita berdoa agar dijauhi dari musibah besar di negara kita,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Siti Zailah juga menyeru supaya diperbanyakkan munajat dan solat hajat serta mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan