HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Disember 2021

Banjir: Kelantan sumbang RM100,000 kepada Selangor, Pahang

HARAKAH DAILY
 

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan ucapan takziah kepada mangsa banjir yang berlaku di negeri Selangor dan Pahang yang menyebabkan kehilangan tempat berteduh dan kemusnahan harta benda.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata sebagai tanda solidariti dan kebersamaan, kerajaan negeri bersetuju menyampaikan sumbangan RM100,000 masing-masing kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Pahang melalui sumbangan Tabung Serambi Mekah.

“Semoga usaha-usaha pasukan keselamatan dan sukarelawan dipermudahkan oleh Allah SWT bagi melancarkan operasi pemindahan dan operasi pemulihan pasca banjir,” ujarnya yang juga Pengerusi Tabung Serambi Mekah dalam satu kenyataan, hari ini.

Bernama melaporkan, menurut aplikasi InfoBencana JKM Negeri Selangor, setakat 8 pagi ini seramai 11,418 orang daripada 4,267 keluarga telah dipindahkan ke 74 PPS di kesemua daerah.

Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memaklumkan sebanyak 73 jalan ditutup melibatkan sembilan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), susulan banjir yang masih belum surut setakat 4 pagi tadi.

Jalan-jalan tersebut adalah di bawah penyeliaan IPD Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (dua); Klang Utara (sembilan); Sungai Buloh (dua); Subang Jaya (11); Kuala Langat (27); Sepang (lima); Shah Alam (enam); Klang Selatan (10) dan Hulu Selangor (satu).

Sementara di Pahang pula, berdasarkan aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir terus meningkat pagi tadi kepada 25,669 orang di 239 PPS berbanding 19,344 orang di 214 PPS pada sebelah malam.

Daerah yang dilanda banjir masih kekal sembilan iaitu Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri pula melaporkan beberapa paras sungai utama di negeri itu masih pada paras bahaya termasuk Sungai Pahang, Sungai Jelai, Sungai Tembeling, Sungai Lipis, Sungai Bentong, Sungai Lembing, Sungai Lepar dan Sungai Belat. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: