HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Disember 2021

Demi perpaduan ummah, Pas sanggup bermain 10 gelanggang sekalipun – Hashim

  Wartawan WartaRakyat

UMNO Hashim Jasin akar umbi

PAS sentiasa bersedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak, bukannya terhad kepada UMNO sahaja demi mencapai matlamat perpaduan ummah.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, berkata demi mencapai matlamat utama itu juga, Pas sanggup melupakan tindakan zalim UMNO terhadapnya sebelum ini untuk bekerjasama melalui Muafakat Nasional (MN).

Katanya, tindakan itu adalah bagi mematuhi perintah Allah supaya ummah bersatu padu, bukannya berpecah belah sehingga musuh meraih kemenangan.

“Allah yang arah kita bersatu padu, jangan berpecah belah. Jadi untuk laksana perintah itu, kita buat MN dengan UMNO.

“UMNO apa yang dia tak buat kepada Pas masa dia memerintah, macam-macam, tetapi kita sanggup lupa benda itu kerana perintah Allah lebih kita utamakan iaitu ke arah perpaduan,” katanya, lapor Berita Harian.

Hashim, berkata berpegang kepada prinsip itu juga, maka Pas menjalinkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melalui penubuhan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, walaupun ada pihak mempertikaikan Pas kerana bermain dalam dua gelanggang secara serentak, tindakan itu sebenarnya tidak tersasar daripada matlamat utama iaitu perpaduan ummah.

“Walaupun 10 gelanggang dan sekarang pun kita buka lagi, dari Pakatan Harapan (PH) pun boleh, apa semua boleh.

“Jadi kita buka (ruang kerjasama) tetapi syaratnya jangan bercanggah dengan dasar pokok kita iaitu perpaduan ummah,” tegasnya.

Sementara itu, Hashim, berkata matlamat perpaduan ummah juga menyebabkan Pas mengambil pendirian untuk mempertahankan MN dan pada masa yang sama memperkasakan PN.

Beliau berkata, walaupun ada sedikit masalah berbangkit berikutan pendirian itu, Pas menganggap ia perkara biasa dalam perjuangan dan pihaknya tidak akan berputus asa.

Beliau juga optimis MN dapat dipertahankan berdasarkan kenyataan-kenyataan terbaharu daripada Badan Perhubungan UMNO Selangor, Perlis dan Kelantan.

“Walaupun ada halangan, marilah kita lupakan, sebagaimana Pas melupakan kezaliman yang dilakukan ke atas Pas dan kita sanggup pula untuk bekerjasama (dengan UMNO).

“Kita doakan supaya terbuka hati pimpinan utama parti-parti Islam dan Melayu untuk bekerjasama dan kita harap akan berjaya,” katanya.

Tiada ulasan: