HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Disember 2021

PRU-15:MCA dijangka perkenal ramai calon muda

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MCA dijangka meletakkan lebih ramai calon muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selari dengan pelaksanaan Undi 18 yang akan dilaksanakan.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, partinya menetapkan calon muda tersebut perlu mempunyai pencapaian tersendiri, berpendidikan, mempunyai tarikan atau sesuatu yang boleh menawan hati pendundi.

“Jika calon muda berkenaan tidak memiliki sifat itu, maka parti perlu percaturan yang sewajarnya. Setakat ini kita belum muktamadkan lagi (senarai calon muda) dan siapa (yang akan menjadi calon muda tersebut).

“Sampai masa kita akan beritahu. Kita tahu apabila Undi 18 dilaksanakan akan berlaku pertambahan undi yang ramai, secara automatik kena permudakan usia calon.

“Kita tidak kurang juga orang-orang (calon-calon) muda, selepas ini secara realistik berbanding dahulu mungkin lebih ramai orang mudalah (lebih ramai calon muda MCA),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor secara hibrid di Ibu Pejabat MCA Johor, Jalan Kebun Teh, Johor Bahru, hari ini.

Katanya, kesan daripada Undi-18 nanti beberapa kawasan contohnya Parlimen Iskandar Puteri akan menyaksikan pertambahan seramai 300,000 pengundi manakala Parlimen Tebrau seramai 290,000 pengundi.

“Ini merupakan tekanan besar, kawasan sedemikian perlu ada strategi dan percaturan lebih baik dan kita rasa pendekatan baharu perlu digunakan untuk persiap calon daripada segi mentaliti mereka.

“MCA mesti letak seberapa ramai calon muda yang berkebolehan, berwibawa dan yang dikenali masyarakat. Calon tua ada sedikit ‘disadvantage’ sebab orang dah kenal dan tahu kelemahan mereka.

“Kita kena lihat di setiap kawasan bagamaimana ciri-ciri pengundi, apa kegemaran mereka dan apa yang boleh mendampingi mereka, kita kena fikir daripada segi percaturan dan taktik kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerja-kerja penaziran parti itu bagi menghadapi PRU15 akan bermula di Johor dan semua jentera parti berkenaan di seluruh negara juga telah telah diarahkan membuat persiapan menghadapi PRU yang boleh diadakan bila-bila masa.

“Pada tahun 2022, sudah empat tahun selepas PRU-14 diadakan sejak Mei 2018 dan PRU akan datang mungkin boleh diadakan dalam tempoh maksimum 18 bulan akan datang. Jadi dalam keadaan ini kita perlu bersiap siaga.

“Kita akan mulakan kerja-kerja penaziran di Johor terlebih dahulu, iaitu kerja-kerja persiapan oleh satu pasukan khas daripada MCA Pusat untuk melihat di mana kelemahan agar boleh diperbaiki dan diaudit,” katanya.

MCA katanya, memilih Johor sebagai negeri permulaan kerana negeri tersebut merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan pihaknya berhasrat untuk mengembalikan kegemilangan MCA dalam PRU-15.

Tiada ulasan: