HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Disember 2021

Tahun 2021 beri tamparan hebat buat Parti Warisan

Assim Hassan
Tahun 2021 beri tamparan hebat buat Parti Warisan
Shafie Apdal (gambar) pada bulan ini mengumumkan usaha Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung. - Ihsan Parti Warisan
 
KUALA LUMPUR: Bukan sahaja usaha parti untuk melebarkan sayap ke Semenanjung, parti tempatan yang sebelum ini diasaskan untuk orang Sabah didakwa berantakan.
 
Setakat artikel ini ditulis, lima daripada empat pemimpin kanan (wingman) Presiden Parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal angkat kaki meninggalkan beliau.
 
Sejak awal tahun ini pemimpin Warisan telah mengambil keputusan meninggalkan parti itu.
 
Pertama, ADUN Sebatik, Hassan Pangeran Amir pada Februari 2021. Diikuti pemimpin kuat masyarakat Kadayan yang juga ADUN Sindumin, Datuk Yusof Yacob dan ADUN Segama, Datuk Mohamaddin ketapi pada bulan Oktober 2021.
 
Hinggalah Peter yang dilihat orang harapan Shafie dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nautim meninggalkan beliau dan parti berlogokan Kapal Layar itu.
 
Sejak dari zaman UMNO lagi, semua pemerhati politik dan pengamal media menyedari akan hubungan Shafie-Peter cukup kuat terutama bagi mendapat sokongan masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) di pedalaman Sabah terutama di Tenom.
 
Kuat pengaruh Peter Anthony di kawasan itu dan dalam kalangan masyarakat KDM di sana.
 
Terkejut juga penulis apabila Peter yang kini menghadapi pertuduhan memalsukan surat pejabat 
Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 meninggal Shafie dan Warisan yang memang sebati dengan beliau.
 
Tetapi itu adalah asam garam dalam politik. Kawan boleh jadi musuh; musuh boleh jadi kawan.
 
Dalam fasa melalui lima pemimpin, Peter dilihat lebih berterus-terang dengan tindakannya. Warisan dan Mohd Shafie sudah hilang arah kerana melebarkan sayap ke Semenanjung. Ya ke Semenanjung.
 
Terang lagi bersuluh, apabila usaha Warisan yang sebelum ini 'kononnya' mahu mengangkat politik tempatan dan rakyat Sabah seperti tersasar.
 
Bagaimanapun, pernah penulis menemubual Shafie pertengahan tahun ini, mengenai usaha melebarkan sayap ke Semenanjung.
 
"Assim, di Semenanjung juga ada orang Sabah. Mereka boleh memilih Parti Warisan walaupun di mana mereka berada," ujar ringkas Shafie.
 
Melihat kepada perkara ini, kepimpinan Warisan dan Shafie perlu bijak menyusun atur strategi - dengar suara akar umbi atau kaji semula keputusan mahu melebarkan sayar ke Semenanjung serta memperkukuhkan kepimpinan sebagai parti tempatan.
 
"Kita melihat dari awalnya, ideologi utama (penubuhan) parti Warisan ini adalah untuk orang Sabah tetapi apabila tindakan untuk melebarkan sayap parti ke Semenanjung, ada dalam kalangan akar umbi menyifatkan visi penubuhannya sudah tersasar.
 
"Malah ada juga perkongsian dengan saya dalam kalangan pemimpin Warisan sendiri yang menyuarakan bahawa mereka menginginkan pemimpin yang sentiasa mendengar keluhan disuarakan pemimpin dan juga di peringkat akar umbi," kata Penganalisis Politik UMS, Romzi Ationg.
 
Bukan terhenti di situ, Peter juga dijangka menubuhkan parti tempatan baharu dan memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor.
 
Dengan itu empat daripada lima pemimpin Warisan bertindak menyokong Hajiji manakala ADUN Sindumin Datuk Yusof Yacob kekal ADUN Bebas 'mesra GRS'.

Tiada ulasan: