Bernama
Anwar
(gambar) memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan
kehakiman pada 25 Januari lalu, menamakan Muhyiddin dan kerajaan sebagai
responden pertama dan kedua. - Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan empat wakil rakyat telah
memohon kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang
menolak rayuan mereka untuk mencabar tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin
menasihati Yang di-Pertuan Agong menggantung Parlimen semasa tempoh
darurat.
Peguam
Ramkarpal Singh, yang mewakili Anwar, ketika dihubungi pemberita
berkata anak guamnya memfailkan lapan persoalan undang-undang pada 24
Dis untuk memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan bagi
membolehkan merit permohonan itu didengar.
Pejabat pendaftaran Mahkamah Persekutuan menetapkan 26 Jan 2022 bagi pengurusan kes.
Peguam
Christopher Leong, yang mewakili Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri
Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, Ahli
Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari dan Ahli Parlimen
Pasir Gudang Hassan Abdul Karim, berkata anak guamnya turut memfailkan
permohonan bagi mendapatkan kebenaran merayu pada 23 Dis dengan
masing-masing mengemukakan dua persoalan undang-undang yang sama.
Pada 24 Nov lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Datuk Has Zanah
Mehat
menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi memfailkan
semakan kehakiman terhadap bekas Perdana Menteri itu dan kerajaan.
Dalam
keputusan sebulat suara, hakim Has Zanah berkata mahkamah tidak
mempunyai bidang kuasa untuk melayan permohonan semakan kehakiman
walaupun kebenaran diberikan kepada perayu.
"Ia
akan dilaksanakan dengan sia-sia kerana mahkamah dilarang oleh Perkara
150 (8) Perlembagaan Persekutuan daripada mempersoalkan penggunaan budi
bicara oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai pengisytiharan darurat,"
katanya.
Beliau
berkata kuasa mahkamah bergantung kepada apa yang diperuntukkan oleh
perlembagaan, bukannya apa yang difikirkan oleh sesetengah pemikir
politik apa itu kuasa kehakiman.
Hakim
itu berkata menurut Perkara 150 (6) dan (8) Perlembagaan Persekutuan,
Parlimen berhasrat untuk mengecualikan semakan kehakiman terhadap
keputusan mengisytiharkan darurat serta menutup pintu mahkamah terhadap
sebarang cabaran undang-undang yang dibuat semasa darurat dan
pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.
Pada
22 April lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar
untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman untuk
mencabar nasihat Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan
Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menggantung sidang
Parlimen darurat seluruh negara.
Hakim
Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Seri Mariana Yahya (kini Hakim
Mahkamah Rayuan) menolak permohonan Anwar atas alasan mahkamah tiada
bidang kuasa untuk mendengar semakan kehakiman berdasarkan Perkara
150(6) dan 150(8) Perlembagaan Persekutuan.
Hakim
Mariana memutuskan bahawa nasihat Jemaah Menteri dan Muhyiddin kepada
Al-Sultan Abdullah untuk mengisytiharkan Ordinan Darurat adalah tidak
tertakluk kepada semakan kehakiman.
Anwar
yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memfailkan permohonan kebenaran
untuk memulakan semakan kehakiman pada 25 Januari lalu, dengan menamakan
Muhyiddin dan kerajaan masing-masing sebagai responden pertama dan
kedua.
Beliau
memohon deklarasi bahawa keputusan yang diberikan oleh Jemaah Menteri,
diketuai Muhyiddin untuk menasihati Al-Sultan Abdullah untuk
mengisytiharkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-
Kuasa
Perlu) 2021 yang telah mengakibatkan penggantungan Parlimen adalah
bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak sah,
tidak mempunyai sebarang kesan dan ultra vires.
Pada
11 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran
semakan kehakiman yang dikemukakan Salahuddin, Johari dan Abdul Aziz
atas perkara yang sama manakala permohonan kebenaran Hassan ditolak
Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 26 April lalu.
Mereka juga menamakan Muhyiddin dan kerajaan sebagai responden dalam permohonan mereka.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan